8 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA TINGGI – Pengguna laluan Jalan Pasak menghala ke Kota Tinggi terpaksa ‘bermandi’ debu setiap kali lori mengangkut pasir dari kawasan berhampiran melalui jalan tersebut.
Pengguna, Abidin Sumiri, 29, berkata, dia yang menunggang motosikal untuk ke tempat kerjanya setiap hari terpaksa berhadapan dengan masalah debu pasir tersebut yang mana boleh
membawa kesan penyakit.
“Amat kesian terutamanya bagi penunggang motosikal seperti saya, kami terpaksa berdepan dengan masalah pencemaran habuk debu pasir secara terus berbanding mereka yang menaiki kereta.
“Ketika cuaca panas debu yang berterbangan semakin ketara. Jika tidak diatasi debu pasir ini boleh mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti asma dan batuk,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, bagi Nurul Huda Mohd Noh, 24, lori yang membawa muatan pasir basah itu turut mengeluarkan air rembesan sehingga menyebabkan setiap kenderaan yang berada di belakang lori tersebut pasti akan kotor.
“Rembesan air pasir yang menitis dari lori yang membawa muatan pasir itu menyebabkan kenderaan kami seperti bermandi lumpur.
“Kami terpaksa cuci semula kenderaan kami walaupun baru sahaja dicuci,” katanya.
Nurul Huda berkata, dia merayu agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan bagi mengelakkan masalah tersebut daripada berterusan.
Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat lori membawa muatan pasir sering berulang alik melalui jalan tersebut untuk mengangkut pasir dari kawasan berhampiran.
Laluan tersebut menjadi laluan utama khususnya bagi masyarakat Felda dan kampung berhampiran untuk ke Kota Tinggi.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan