28 Jun 2012

Pekerja ladang jatuh dalam sungai

8 Syaaban 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Tindakan seorang pekerja ladang untuk mengambil air sungai di Ladang Kimpong, Pantai, dekat sini bertukar tragedi apabila dia ditemui lemas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan, semalam.

Mayat mangsa, S Nathan, 37, ditemui kira-kira 11.30 pagi oleh rakan sekerjanya yang turut bekerja di kawasan sama.

Menurut sumber, mangsa pergi ke ladang terbabit bersama tiga lagi rakannya dikatakan untuk menjalankan kerja-kerja meracun.

“Bagaimanapun, mangsa pergi ke sungai berkenaan untuk mengambil air berikutan bekalan air dalam simpanan mereka sudah habis.

“Mangsa dikatakan membawa beberapa tong air, manakala tiga lagi rakannya tunggu di ladang dan menjalankan kerja-kerja pembersihan lain,” katanya.

Menurut sumber, rakannya bagaimanapun hairan apabila mangsa tidak muncul setelah menunggu lebih 20 minit, sebelum mereka bertindak mencari mangsa di lokasi berhampiran.

"Salah seorang rakan terkejut menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam sungai sebelum melaporkan kejadian kepada polis.

“Sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian dan membuat pemeriksaan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang mengesahkan menerima laporan kejadian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: