8 Syaaban 1433H. [MOD] -
KOTA TINGGI – Seorang penjual pau di Felda Lok Heng di sini terkejut apabila beg plastik yang dijumpai bawah meja gerainya dan disangka milik awam rupa-rupanya mengandungi mayat bayi perempuan.
Dalam kejadian Isnin lalu kira-kira jam 9 pagi, Mesdi Tiami, 59, baru sahaja hendak memulakan perniagaannya apabila terlihat sebuah beg plastik yang ditutup dengan jaket berada di bawah meja gerainya itu.
“Saya sangka mungkin ada orang yang nak tumpang letak barang, jadi saya biarkan saja. Namun saya hairan kerana sehingga jam 2.30 petang, masih belum ada yang mengambil beg plastik tersebut.
“Saya kemudian tergerak hati melihat isi kandungan beg plastik berwarna hitam itu. Alangkah terkejutnya saya sebaik sahaja terlihat tapak kaki
manusia bersaiz kecil seperti tapak kaki kucing di dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mesdi berkata, tambah memilukan apabila bayi tidak berdosa itu dimasukkan ke dalam beg plastik berkenaan dalam keadaan tertonggeng.
Menurutnya, setelah mengamati isi di dalam beg itu, dia mengesyaki jantina bayi berkenaan adalah perempuan dan bertambah yakin setelah disahkan rakannya, Ramlan Yunus, 54, yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
Sementara itu, Ramlan berkata, bayi dengan berat hampir tiga kilogram itu didapati sudah tidak bernyawa setelah pemeriksaan dilakukan pihak klinik kesihatan berhampiran.
“Keadaan bayi itu amat menyedihkan, saya sendiri berasa sebak melihatnya. Bukan sahaja dimasukkan dalam keadaan tertonggeng, tali pusatnya juga masih belum dipotong.
“Ada di kalangan penduduk yang berada di tempat kejadian menangis melihat keadaan bayi tersebut,” kata bapa kepada empat anak itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika mengesahkan kejadian berkata, sehingga kini masih tiada lagi tangkapan dilakukan dan pihaknya masih melakukan siasatan untuk mengesan ibu yang melahirkan bayi itu.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan