8 Syaaban 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu plat kenderaan WWW 1.
Laporan polis tersebut dibuat di IPD Dang Wangi, bersama-sama barisan peguam Pemuda PAS Perak.
Menurut beliau, laporan itu dibuat kerana kedua-dua media pro Umno itu telah menyiarkan berita yang disifatkannya sebagai fitnah ke atas kredibiliti beliau.
"Mereka telah memfitnah saya dengan memutarbelitkan kenyataan saya di twitter dengan mengatakan saya menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk bidaan WWW1. Sedangkan, saya tidak menyatakan sedemikian," tegas beliau yang ditemui Harakahdaily.
Dalam pada itu, kata beliau peguamnya turut menghantar notis kepada TV3 dan Utusan Malaysia untuk menarik balik dan meminta maaf secara terbuka berkaitan penyiaran berita tersebut.
Sekiranya, TV3 dan Utusan Malaysia tidak berbuat demikian, tambah Nizar pihaknya akan mengemukakan saman malu terhadap kedua-dua media tersebut.
Ditanya tentang tempoh yang diberi pihaknya kepada TV3 dan Utusan Malaysia itu, Nizar berkata pihaknya memberi tempoh sehingga tujuh hari bermula semalam untuk berbuat demikian (tarik balik dan mohon maaf).
Nizar, sebelum ini dalam twitnya mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran yang dimenangi Sultan Ibrahim itu dengan bayaran RM520,000 dengan kesusahan rakyat Johor.
Ekoran kenyataannya itu, pelbagai reaksi positif dan negatif dibangkitkan, dan turut disiasat di bawah Akta Hasutan, malah pejabatnya turut digeledah pihak polis bagi membantu siasatan.
Nizar bagaimanapun bertindak memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Ibrahim beberapa hari selepas itu.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan