29 Rejab 1433H. [MOD] -
KLUANG - Bagai menunggu mangsa apabila keadaan penutup longkang di Jalan Kampung Majid berhampiran lampu isyarat bangunan Maju Padu di sini, rosak lebih seminggu lalu sekali gus memberi ancaman bahaya kepada pengguna jalan raya.
Pengguna, Nurhashimah Mohd Riswan, 22, berkata, sebelum ini, penutup longkang itu berada dalam keadaan sempurna, namun kehadiran kenderaan berat yang menjadikan jalan itu sebagai laluan utama keluar masuk dipercayai menjadi punca kepada berlakunya kerosakan pada penutup lubang itu.
Menurutnya, penutup longkang yang sudah pecah itu perlu diganti baru dengan segera bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya memikirkan satu cara yang lebih baik dan membaiki dengan penutup yang lebih kukuh supaya ia tidak rosak walaupun dilalui oleh kenderaan berat, bukannya menggantikan dengan penutup yang mudah pecah.
“PBT juga hendaklah memasang papan tanda yang lebih sempurna dan bukannya hanya meletakkan kayu kering dan pita seperti sekarang ini kerana jika ada pemandu yang terbabas sudah pasti ia akan mendatangkan bahaya kepada pemandu berkenaan,” katanya.
Katanya, papan tanda yang sedia ada itu bukannya dipasang oleh pihak PBT tetapi dipasang oleh pengguna jalan raya yang prihatin dengan keselamatan pengguna lain sewaktu melalui jalan tersebut.
Sementara itu, Mohd Nazeri Mohd Raya,42, berkata, dia sering kali melalui jalan tersebut untuk pergi dan pulang dari tempat kerja.
Rutin itu membuatkan dia turut berasa bimbang apabila melalui jalan tersebut terutama waktu malam kerana risau terbabas ke dalam longkang tersebut.
Menurutnya, pihak bertanggungjawab sepatutnya meletakkan kon sebagai penanda yang boleh dilihat oleh pengguna jalan tersebut dan bukannya dibiarkan dengan meletakkan penanda yang tidak sepatutnya sehingga boleh menyakitkan mata yang memandang.
“Dengan tanda yang sedemikian rupa pasti akan menjejaskan nama baik pihak yang bertanggungjawab apatah lagi jika pelancong luar yang melalui jalan tersebut.
“Oleh itu, sebagai pengguna, kami memohon supaya tindakan segera dilakukan oleh pihak yang sepatutnya sebelum berlaku kejadian buruk," katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan