19 Jun 2012

Tabung Haji: Jelaskan pindah wang CEO RM308,700

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom diminta mengemukakan syarat-syarat dan terma yang terkandung dalam skim perkhidmatan Tabung Haji berkaitan isu perpindahan wang ke akaun Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.

"Lebih-lebih lagi jika pindahan wang tersebut dilakukan menurut undang-undang dan tiada apa yang wajar dirahsiakan, tegas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (gambar) di parlimen, hari ini.

Bercakap pada sidang media di lobi parlimen, Naib Presiden PAS itu berkata perpindahan wang sebanyak RM308,700 dari akaun Tabung Haji kepada Ismee perlu diperjelaskan butirannya.

"Jika wang itu dipindahkan mengikut undang-undang, tiada masalah jika ia didedahkan butirannya. Jadi, tiada apa yang perlu dirahsiakan," gesa beliau lagi.

Gesaan itu dibuat berdasarkan soalannya yang dijawab secara bertulis oleh menteri berkenaan, hari ini.

Bagaimanapun, Mahfuz melahirkan rasa tidak puas hati dengan penjelasan yang diberikan Jamil Khir, yang dianggap masih kabur.

Dalam soalannya, beliau meminta Jamil Khir menjelaskan berhubung perpindahan wang tersebut yang menimbulkan pelbagai tanda-tanya di kalangan rakyat.

Sebelum ini, pada sesi parlimen lepas, beliau turut membangkitkan isu tersebut ketika perbahasan belanjawan 2012.

Tambah Mahfuz lagi, pihaknya turut mempersoalkan tindakan Tabung Haji yang menuduh Bank Islam mendedahkan maklumat tersebut.

"Kenapa apabila isu ini dibangkitkan, Tabung Haji menuduh ada pihak di Bank Islam yang mendedahkan 'kerahsiaan' tersebut? Sedangkan maklumat tersebut bukan dari Bank Islam. Apa yang perlu dirahsiakan Tabung Haji? Seolah-olah ada sesuatu di sebalik isu ini?" tegas beliau lagi.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mendesak Jamil Khir mengemukakan bukti berkaitan pemindahan wang tersebut, termasuk syarat-syarat dan terma-terma yang digunapakai yang terkandung dalam skim perkhidmatan Tabung Haji.

Harakah Daily

Tiada ulasan: