19 Jun 2012

Projek Lynas kilang kimia, bukan loji nuklear?

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) menegaskan projek Lynas yang diadakan di Gebeng, Kuantan merupakan kilang kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear atau aktiviti perlombongan.

Menurut laporan jawatankuasa tersebut, hujah mereka itu berdasarkan fakta-fakta saintifik, takrifan undang-undang dan maklumat yang diperolehi daripada pakar-pakar berhubung perojek berkenaan juga mendapati projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju.

Jawatankuasa Khas itu juga berpuas hati bahawa projek LAMP telah memenuhi keperluan standard dan perundangan di Malaysia yang setaraf dengan amalan dan standard antarabangsa.

Malahan, terdapat peruntukan undang-undang dan standard yang dikenakan ke atas projek LAMP adalah lebih ketat berbanding standard antarabangsa.

Jawatankuasa berpuas hati bahawa projek LAMP telah menyediakan sistem kawalan yang diperlukan seperti yang telah ditetapkan di dalam perundangan kebangsaan dan standard antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan awam serta perlindungan alam sekitar untuk kilang beroperasi sementara.

Jawatankuasa juga mengesyorkan agar lesen Kelas A (Mengilang – Peringkat Pengendalian Sementara) atau (Temporary Operating Licence – TOL) dikeluarkan supaya projek LAMP dapat mengilang bahan mentah pekatan lantanid secara berperingkat dan terhad serta dikawalselia secara berterusan oleh agensi penguatkuasa.

"Di peringkat ini, LAMP perlu mematuhi kesemua syarat-syarat lesen yang lazim dan syarat-syarat tambahan yang telah dikenakan di dalam lesen TOL ini. Data yang diperolehi di peringkat ini akan menjadi asas kepada pertimbangan proses perlesenan selanjutnya," tegas jawatankuasa itu.

Pihak Jawatankuasa juga mengesyorkan satu jawatankuasa pemantauan (monitoring committee) dibentuk bagi memantau secara berterusan operasi LAMP.

Jawatankuasa ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGOs) dan pakar bertauliah.

Jawatankuasa Pemilih telah bermesyuarat pada hari Rabu, 21 Mac 2012 dan 22 Mac telah melantik Ahli-ahli Jawatankuasa LAMP iaitu Ahli Parlimen (BN-Pasi Gudang) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai Pengerusi, Ahli Parlimen (BN-Kota Belud) Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen (BN-Tebrau) Teng Boon Soon, Ahli Parlimen (BN-Batang Sadong) Nancy Shukri, Ahli Parlimen (BN-Simpang Renggam) Liang Teck Meng dan Ahli Parlimen (Bebas-Kulim Bandar Baharu) Datuk Zulkifli Noordin.

Sebanyak enam mesyuarat telah diadakan bermula pada 18 April, 6 Mei, 4 Jun, 5 Jun, 7 Jun dan 11 Jun.

Laporan itu turut melampirkan laporan prosiding sesi pendengaran awam yang diadakan sebanyak tiga kali iaitu pada 10, 11 dan 21 Mei 2012.

Harakah Daily

Tiada ulasan: