29 Rejab 1433H. [MOD] -
KUANTAN - Kehadiran sebuah kereta mewah jenis Mitsubishi Lancer Evo 5 yang tersadai tanpa enjin dan keempat-empat tayarnya di tepi Jalan Pintasan Kuantan menghala ke pelabuhan berhampiran simpang Balok Baru di sini menimbulkan tanda tanya pengguna laluan itu, pagi kelmarin.
Persoalan itu bagaimanapun terjawab apabila semakan polis mendapati kenderaan itu adalah sebuah kereta curi yang dilaporkan hilang di Semambu, sehari sebelumnya.
Sinar Harian difahamkan kereta itu dibawa pencuri dipercayai lebih daripada seorang ke kawasan tersebut sebelum melerai dan komponen termasuk enjin dan keempat-empat tayarnya dilarikan.
Lebih mengejutkan, pencuri bertindak berani apabila melakukan kerja-kerja meleraikan komponen itu di tepi jalan sedangkan laluan tersebut sentiasa ada kenderaan terutama kenderaan berat walaupun awal pagi.
Wartawan Sinar Harian yang ke lokasi kira-kira jam 9 pagi semalam selepas dihubungi seorang pengguna jalan mendapati kereta tersebut ditinggalkan dalam keadaan tidak cukup sifat bagaimanapun bahagian dalam kereta tidak diusik dan tiada kesan cermin dipecahkan.
Pencuri menggunakan empat jek untuk mengangkat kereta itu sebelum mencabut kesemua tayarnya manakala alat yang digunakan itu ditinggalkan bersama kereta tersebut.
Sinar Harian difahamkan penemuan kereta tersebut dimaklumkan kepada pemiliknya sebelum kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Azmi Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan