19 Jun 2012

Debat Sinar malam ini, soalan pembaca dialu-alukan

29 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Sinar Harian menganjurkan Debat Sinar kali kedua malam ini dan mengalu-alukan orang ramai mengemukakan soalan kepada pendebat sama ada menerusi akaun e-mel, laman sosial Facebook atau Twitter mulai sekarang.

Debat kali ini bertajuk “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi".

Ia akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Debat kali ini menemukan pemimpin dari dua parti utama negara ini iaitu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Mereka yang ingin mengemukakan soalan kepada kedua-dua pendebat itu, boleh menyalurkannya ke akaun https://twitter.com/#!/sinaronline atau http://www.facebook.com/SinarHarian atau e-mel editor.online@sinarharian.com.my.

Laporan berkenaan debat boleh diikuti menerusi www.sinarharian.com.my dari semasa ke semasa.

Penerbit Eksekutif Sinar Harian, Akmal Eirfan Mohd Fauzi berkata, penganjur mengalu-alukan rakyat Malaysia mengemukakan soalan-soalan yang bernas dan akan dipanjangkan kepada pendebat malam ini.


Debat yang diadakan di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini akan berlangsung mulai jam 9 malam ini.

“Kami juga akan menerima segala komen dan pandangan yang diajukan oleh orang ramai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Akmal turut berkata, penganjuran Debat Sinar kali ini adalah satu langkah untuk mengembangkan minda rakyat hasil idea yang dihujah oleh kedua pemimpin politik ternama tersebut.

"Debat Sinar yang diwakili oleh dua pemimpin parti politik ini dilihat dapat memberi idea baru kepada masyarakat dalam menilai isu yang didebatkan kali ini dan bukan mengambil kira siapa pemenangnya.

"Debat ini juga akan menunjukkan daya saing dalam penghujahan idea antara pemimpin politik tersebut secara terbuka dalam memacu pemerintahan negara," kata beliau.

Sehubungan itu kata beliau, “kami yakin masyarakat sedang menanti Debat Sinar kali ini untuk mendapatkan maklumat baru yang bakal disampaikan, di samping mempromosikan Sinar Harian kepada masyarakat dalam mempromosikan budaya intelektual.”

Sinar Harian

Tiada ulasan: