19 Jun 2012

Renjatan elektrik dera kontraktor

29 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Seluruh tubuh menjadi lemah selepas direnjat menggunakan alat renjatan elektrik itu lebih lima kali. Malah, ketika dipukul dengan gari, saya tidak lagi mampu bergerak mahupun berkata-kata,” kata Leoni, 47.

Leoni yang bekerja sebagai kontraktor berkata demikian ketika mengulas tindakan dua lelaki yang menderanya selepas enggan meneruskan kerja pengubahsuaian rumah seorang daripada suspek secara percuma dalam kejadian bermula kira-kira jam 6.30 petang, Jumaat lalu.

Menurut Leoni, dia diperlakukan kejam oleh dua suspek berusia 30-an hampir tujuh jam sebelum ditinggalkan di bahu jalan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini kira-kira jam 1 pagi.

Bercerita lanjut mengenai kejadian itu, Leoni berkata, dia yang melakukan pengubahsuaian sebuah rumah milik seorang daripada suspek sejak sebulan lalu enggan meneruskan kerjanya itu selepas lelaki terbabit tidak mahu membuat bayaran seperti dijanjikan.


“Mengikut perjanjian asal, saya akan dibayar RM2,500 sebagai bayaran pendahuluan malangnya selepas sudah melakukan kerja ubah suai hampir 30 peratus, lelaki itu masih gagal untuk membayar wang berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Leoni, dia bagaimanapun dihubungi seorang lelaki yang mendakwa mahu bertemu dengannya di kawasan PWTC yang pada mulanya menyamar sebagai pelanggan yang juga mahu melakukan pengubahsuaian.

“Bagaimanapun, ketika bertemu dengan lelaki terbabit, dia mendapati bekas pelanggannya yang gagal melunaskan bayaran untuk pengubahsuaian rumahnya juga berada di sana.

“Ketika itu, barulah saya sedar lelaki terbabit menggunakan rakannya cuba untuk memerangkap saya,” katanya memberitahu mereka kemudiannya merampas barangan berharga miliknya seperti telefon bimbit dan wang tunai RM3,500.

Katanya, dua suspek itu juga kemudian menghubungi rakan kongsinya untuk meminta wang berjumlah RM4,000 sebagai wang tebusan bagi membebaskannya.

“Keengganan rakan saya menuruti kehendak mereka menyebabkan kumpulan itu mula bertindak ganas. Saya diberi renjatan eletrik selain dipukul dengan gari,” katanya memberitahu ketika diperlakukan demikian, dua tangannya diikat.

Dua suspek kemudiannya meninggalkan Leoni di bahu jalan berhampiran PWTC selepas kumpulan terbabit mendapati dia sudah lemah.

Dengan bantuan orang ramai Leoni kemudiannya dibawa membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk tindakan lanjut sebelum diberikan rawatan di sebuah hospital di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

metro/-

Tiada ulasan: