29 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: PAS meminta kuasa-kuasa Barat dan seluruh masyarakat dunia menerima secara terbuka keputusan Pilihan raya Presiden Mesir yang dibuat melalui satu proses yang lebih demokratik, setelah puluhan tahun suasana pilihanraya di Mesir telah menjadi contoh demokrasi yang pincang.
Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata rakyat Mesir telah menyatakan pilihan mereka, dan tidak wajar mana-mana pihak terutamanya pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) untuk menafikan hak rakyat membuat pilihan dalam satu proses demokrasi itu.
Berikut ialah kenyataan penuh beliau.
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Muhammad Morsi dari Parti Pembebasan dan Keadilan (FJP) yang mencapai lebih dari 50% undi dalam Pilihan raya Presiden Mesir yang baru sahaja berakhir.
Sehubungan dengan itu juga, PAS meminta kuasa-kuasa Barat dan seluruh masyarakat dunia menerima secara terbuka keputusan tersebut yang dibuat melalui satu proses yang lebih demokratik, setelah puluhan tahun suasana pilihanraya di Mesir telah menjadi contoh demokrasi yang pincang.
Rakyat Mesir telah menyatakan pilihan mereka, dan tidak wajar mana-mana pihak terutamanya pihak Supreme Council of the Armed Forces (SCAF) untuk menafikan hak rakyat membuat pilihan dalam satu proses demokrasi itu.
Sebarang usaha menafikan kemenangan ini sama ada oleh kuasa-kuasa Barat dan Regim Zionis Israel juga melalui tangan-tangan ghaib mereka di Mesir sendiri akan membawa akibat yang buruk kepada keamanan rantau Asia Barat, dan iklim politik dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.
Dunia mesti memberi ruang kepada pentadbiran pemimpin dan kerajaan baru Mesir untuk berkhidmat dengan penuh keadilan kepada rakyat. Adalah amat tidak wajar rakyat dihukum dengan dinafikan pilihan mereka setelah ianya berjalan secara demokrasi.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan