29 Rejab 1433H. [MOD] -
KULIM - Tiga beradik ditahan di sebuah rumah di Taman Kenangan kira-kira jam 2.30 pagi semalam kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dan pembungkusan dadah.
Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulim di Ketuai Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Inspektor Mohd Amin Mat Yasin bersama empat anggota menahan tiga beradik itu selepas pemantauan dilakukan selama beberapa hari.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata, polis mendapat maklumat daripada orang ramai di mana ketiga-tiga suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dan pembungkusan dadah. Menurutnya, polis terpaksa memecah pintu pagar rumah suspek kerana mereka enggan memberi kerjasama ketika serbuan dibuat.
Setelah pintu rumah dibuka, polis menemui suspek lain berada di bilik hadapan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat ratusan plastik kecil lut sinar dipercayai digunakan untuk membungkus dadah manakala keadaan rumah berselerak dan tidak terurus.
Ghuzlan berkata, seorang suspek kemudiannya meminta kebenaran ke bilik air tetapi ditahan kerana cuba membuang beberapa peket plastik kecil lut sinar dipercayai mengandungi dadah. Seorang suspek memaklumkan mereka sebenarnya sedang menunggu seorang teman dipercayai mempunyai bekalan dadah yang lebih banyak.
“Polis kemudiannya membawa ke semua suspek ke IPD untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing dijalankan terhadap ketiga-tiga beradik itu dipercayai positif dadah. "Mereka ditahan di lokap Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut dan kes ini akan disiasat dibawa Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dan 12 (2) kerana memiliki dadah,” katanya.
Ghuzlan berkata, sehingga kini ramai dalam kalangan pengedar dadah berjaya diberkas hasil maklumat orang awam. Menurutnya, tangkapan akan diteruskan sehingga Kulim menjadi kawasan bebas dadah.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan