25 Rejab 1433H. [MOD] -
LUBUK CHINA – Tidak boleh berpeluh, tidak boleh terkena pancaran matahari dalam tempoh masa lama dan makan nasi berlaukkan sup sayur hampir setiap hari adalah antara rutin hidup yang terpaksa dilalui Ahmad Ali, 60, hampir 20 tahun lalu.
Sejak disahkan menghidap Serbolic Dermatitis Eczema, Ahmad juga harus menyapu kira-kira lima jenis krim ke tubuhnya pada setiap hari selain makan ubat-ubatan yang dibekalkan pakar bagi mengawal rasa gatal yang melampau.
Menurutnya, dia juga pernah memanggang tangannya di atas api dapur kerana tidak tahan dengan kegatalan yang dialaminya.
"Ajaibnya, kaedah itu berjaya membuatkan saya berasa lega dan tidak berasa gatal lagi.
"Sejak 20 tahun lalu, inilah rutin harian saya namun jika ada majlis kenduri, saya tidak pantang makan dan akhirnya terpaksa menanggung kesan gatal melampau," katanya.
Ahmad berkata, dia juga pernah berubat cara tradisional hingga ke Hulu Klang, Selangor. "Namun kini saya lebih selesa mendapatkan rawatan secara moden melalui khidmat pakar kulit di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban mengikut tarikh yang mereka tetapkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Nerambai, dekat sini, semalam.
Katanya, akibat penyakit yang dihidapi itu juga sudah beberapa kali dia ditahan di wad gara-gara kulitnya yang terlalu kering selain mukanya kemerahan.
"Walaupun dengan keadaan begini, jika terdaya saya akan membuat kerja kampung atau turun ke sungai mencari hasil untuk dijadikan sumber pendapatan.
"Saya perlu menanggung dua daripada empat anak saya yang masih lagi bersekolah yang mana masing-masing di tingkatan empat dan lima," katanya.
Agency
Tiada ulasan:
Catat Ulasan