25 Rejab 1433H. [MOD] -
SETELAH berakhirnya enam perlawanan pusingan kedua membabitkan tiga kumpulan - A, B dan C setakat semalam, nasib Greece, Belanda dan Itali dalam kejohanan Euro 2012 bagaikan 'telur di hujung tanduk'.
Ini berikutan ketiga-tiga pasukan itu bakal menjadi mangsa penyingkiran awal setelah berada di kedudukan tercorot dalam kumpulan masing-masing.
Mungkin terlalu awal untuk menilai prestasi ketiga-tiga pasukan ini dalam Euro 2012, namun melihat reputasi mereka sebagai bekas juara Euro sebelum ini, jelas mengecewakan apabila mereka kurang menonjol untuk membuktikan kemampuan masing-masing dalam edisi kali ini.
Melihat pada perlawanan kedua Kumpulan C semalam, Itali yang jelas menguasai babak awal perlawanan dengan peluang terbuka luas untuk menjaringkan gol, gagal dilaksanakan dengan baik.
Sebaliknya, kerapuhan benteng pertahanan Itali akhirnya membawa padah apabila Croatia berjaya mengikat kedudukan 1-1.
Kegagalan Itali dalam membawa pulang tiga mata bukan sahaja menutup laluan mereka ke suku akhir, sebaliknya mereka terus gagal untuk menamatkan badi kekalahan kepada Crotia sejak 1991.
Sementara itu, Sepanyol yang mempamerkan kecemerlangan pada perlawanan kedua Kumpulan C apabila meraih kemenangan pertama selepas menewaskan Republik Ireland, sekali gus menyalakan kembali laluan mereka ke suku akhir.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Vicente del Bosque mengumpul empat mata selepas sekadar meraih satu mata sewaktu aksi hambar pada perlawanan pertama minggu lalu menentang Itali yang berkesudahan seri 1-1.
Ketika ini juara bertahan, Sepanyol berkongsi mata dengan Croatia berada di kedudukan teratas Kumpulan C melalui kelebihan jaringan manakala Itali di kedudukan ketiga kurang dua mata di belakang pendahulu sementara Ireland di tempat keempat.
Jurulatih Republik Ireland, Giovanni Trapattoni yang kecewa dengan kekalahan kali kedua mengakui, pasukannya kini berada di ambang penyingkiran setelah gagal untuk mengutip sebarang mata.
"Ia satu tamparan hebat kepada kami. Tiada apa yang boleh dilakukan kerana kami misi kami sudah berakhir.
"Perlawanan terakhir nanti, kami hanya akan turun untuk mencipta kememangan setelah kalah dua kali berturut-turut," kata Trapattoni yang akur dengan kekalahan ini.
Jurulatih Itali, Cesare Prandelli berkata, meskipun berada dalam laluan sukar, The Azzuri tetap optimis pasukannya masih berpeluang untuk mara ke suku akhir sekiranya mereka berjaya menewaskan Republik Ireland dengan jaringan gol besar.
"Kami tidak boleh menganggap semuanya telah berakhir. Bagi kami, peluang masih ada.
"Pada masa yang sama, kami juga berharap Sepanyol dapat menewaskan Crotia pada aksi terakhir untuk mengelakkan pasukan itu mengutip tiga mata," kata Prandelli.
Sepanyol mahupun Crotia yang akan bertemu dalam aksi terakhir Kumpulan C nanti, pastinya mahu mengutip mata terakhir yang terlalu penting bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai peneraju Kumpulan.
Meskipun begitu, sekiranya perlawanan tersebut berkesudahan seri 2-2, Sepanyol dan Crotia masih berpeluang mara ke suku akhir berdasarkan kelebihan gol berbanding dua pasukan lain.
Namun bagi jurulatih Sepanyol, Vicent Del Bosque, pertemuan dengan Crotia harus berakhir dengan jaringan gol bagi menjamin laluan mereka ke suku akhir.
"Sekarang kami dan Croatia kongsi empat mata dan hanya dibezakan dengan kelebihan gol. Meskipun selesa di depan, kami harus mencari peluang untuk kutip tiga mata.
"Dan itu akan bagi kami jaminan untuk selesa melangkah ke suku akhir nanti," kata Bosque.
Manakala jurulatih Croatia, Slaven Bilic pula berkata, "perlawanan terakhir menentang Sepanyol nanti, kami perlu bekerja keras kerana pertemuan itu menentukan 'hidup mati' kami.
"Itali pastinya bangkit untuk mengalahkan Republik Ireland, sekiranya mereka menang dan kali kalah, kelebihan akan memihak kepada Itali.
"Dan, kami pastinya tidak mahu menjadi pasukan awal tersingkir, jadi kemenangan penting harus dicapai pada pertemuan itu nanti," tegas Bilic.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan