15 Jun 2012

Geng pecah rumah tumpas

25 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Hasil serbuan polis di dua rumah di Kampung Kempas Baru dan Kampung Kurnia, di sini, 5 Jun lalu, membawa kepada penahanan lima individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan Johor Bahru Utara.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dengan penahanan empat lelaki termasuk seorang wanita yang berusia 17 hingga 37 tahun itu, polis percaya berjaya menyelesaikan 18 kes pecah rumah di sekitar kawasan terbabit.

“Hasil maklumat orang awam dan risikan, polis telah melakukan dua serbuan di dua rumah berasingan dan berjaya menahan lima individu.

“Turut ditemui di rumah terbabit beberapa barangan bernilai termasuk pelbagai mata wang asing yang dipercayai barangan yang dicuri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Johor, di sini.

Antara yang ditemui, dua peti besi yang telah dipecahkan, peralatan pecah rumah, sebuah televisyen, troli, pelbagai mata wang asing, seutas jam tangan, dua utas rantai leher, seutas gelang tangan, sembilan kerongsang, satu telefon bimbit dan sebuah kereta.

Mohd Mokhtar berkata, semakan rekod mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan
boleh dikenakan penjara tidak melebihi 14 tahun.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki dan wanita ditahan di sebuah hotel di Taman Johor Jaya, 9 Jun lalu, disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Seri Alam.

Kedua-dua mereka yang berusia 30 dan 42 tahun itu memiliki rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan memiliki senjata api dan penyalahgunaan dadah.

Mohd Mokhtar berkata, polis turut menemui enam bungkus disyaki dadah, 32 biji pil eramin, alat penimbang dadah, tiga komputer riba, enam telefon bimbit dan dua kenderaan.

“Polis percaya tertangkapnya kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan 10 kes pecah kenderaan di sekitar kawasan Seri Alam,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: