25 Rejab 1433H. [MOD] -
GEORGETOWN - Mayat seorang warga emas ditemui di dalam longkang selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan di Jalan Paya Terubong di sini awal pagi semalam.
Mayat, Lim Ah Huat, 58, dari Lintang Paya Terubong 3 ditemui pengguna jalan raya kira-kira jam 7.25 pagi dalam keadaan tertiarap di tepi longkang manakala motosikalnya
juga ditemui berhampiran dengan mayatnya.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, pada mulanya beliau berasa hairan selepas melihat objek pelik di tepi longkang itu.
Beliau yang ingin melihat dengan lebih dekat terkejut apabila mendapati sekujur tubuh yang tidak bernyawa terbaring di tepi longkang dan motosikalnya pula terhumban di dalam longkang.
“Saya percaya kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi kerana tiada siapa pun perasan kejadian kemalangan itu sedangkan laluan ini memang sibuk pada awal pagi.
“Setelah waktu cerah baru ada orang perasan mayat lelaki berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kon Meng berkata, siasatan awal mendapati mangsa mungkin terbabas sendiri setelah gagal mengawal motosikalnya sebelum terjatuh ke dalam longkang.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi beliau menyeru kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian agar tampil menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.
Mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan