15 Jun 2012

Debat: Pemuda PAS puji Saifuddin Abdullah

25 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memuji sikap gentleman dan berani Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) kerana sanggup berdebat dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada 19 Jun ini di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf meskipun dibantah oleh pemimpin Umno lainnya.

“DPPM menganggap kesudian Saifuddin menunjukkan keterbukaan beliau dalam memberi serta menerima pandangan atau kritikan terhadap sesuatu isu yang timbul.

“Debat ini pastinya akan menguji tahap intelektualisme pemimpin-pemimpin terbabit supaya rakyat mengenal siapakah di kalangan mereka mempunyai idea yang bernas dan wawasan yang jauh dan layak dinobatkan sebagai pemimpin negara ini,” kata Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor.

Tambahnya, ternyata Saifuddin mampu memberikan teladan yang baik kepada pemimpin-pemimpin Umno lainnya supaya berhujah dengan matang, rasional, dan berani bersemuka, bukan emosional serta berhujah berselindung di sebalik kuasa yang mereka miliki.

Katanya, rakyat merasa jengkel melihat telatah pemimpin-pemimpin negara yang memberikan pandangan secara emosi dan sentimen semata-mata tanpa asas yang kukuh sehingga menjadi bahan ketawa mereka yang mendengarnya.

“Dengan perdebatan ini, DPPM percaya rakyat dan penonton akan sekali lagi menunjukkan disiplin dan moral yang tinggi apabila memberikan sokongan secara profesional tanpa ada sikap provokasi dan sentimen kebencian tanpa sebab,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ini, ujarnya mengulangi hasil perdebatan antara Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli tempoh hari yang memberikan impak yang baik terhadap penonton dan rakyat umumnya.

Beliau berkata, apa yang diingini adalah supaya Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak bersedia menerima pelawaan debat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum PRU13 berlangsung.

“Inilah pentas yang selayaknya bagi kedua-dua pemimpin terbabit memberikan gagasan mereka mengenai pembangunan rakyat dan negara ini,” katanya.

Rakyat pula, tambah Riduan akan menilai dengan kebijakan mereka siapakah yang benar-benar realistik dan siapakah pula yang beretorik.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: