15 Jun 2012

Tak sempat lari lompat pagar

25 Rejab 1433H. [MOD] -

KULIM - Polis dari Balai Polis Kulim diketuai Asisten Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun di sebuah rumah
di taman perumahan di sini kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, daripada maklumat awam diterima, kumpulan itu dipercayai melakukan jenayah pecah cermin kereta dan samun
sekitar Kulim.

“Polis mengepung rumah suspek kira-kira jam enam petang sebelum serbuan dibuat.

Ketika diserbu, hanya seorang suspek berada di dalam rumah. Kira-kira 15 minit kemudiannya, dua lagi rakan suspek tiba di tempat kejadian.

“Mereka cuba larikan diri bagaimanapun polis berjaya menahan mereka ketika cuba melompat pagar belakang rumah.

Hasil pemeriksaan, polis menemui beberapa komponen kereta dan motosikal yang sudah dileraikan,” katanya.

Ghuzlan berkata, salah sebuah motosikal ditemui pernah dilaporkan hilang, manakala polis turut menemui beberapa bilah parang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah,”
katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut.

Katanya lagi, salah seorang suspek ditahan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan baru dibebaskan dari lokap.

“Suspek sebelum ini merupakan antara individu yang aktif menjalankan pengedaran dadah di sekitar Kulim sehinggalah ditahan,” katanya.

Ghuzlan berkata, polis akan terus membuat serbuan terhadap beberapa rumah dipercayai dijadikan tempat pembungkusan, pengedaran dan lokasi menghisap dadah.

Sinar Harian

Tiada ulasan: