15 Jun 2012

Rayu dua anak pulang

25 Rejab 1433H. [MOD] -

IPOH – Sebuah keluarga merayu dua beradik pulang untuk bertemu dengan bapa mereka, Chang Kok For, 54, yang kini kritikal terlantar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat jangkitan paru-paru.

Chang Fan Sheng, 19, dan adik perempuannya, Chang Kok Liy, 18, yang bekerja di sebuah restoran di Medan Ipoh sejak 2008 kini hilang tanpa berita setelah dihantar majikannya ke Johor Baharu sejak beberapa bulan lalu.

Bapa Saudara, Chan Kok Leong, 52, berkata, usaha menjejaki dua beradik itu menemui jalan buntu apabila pemilik restoran berkenaan seolah- olah ‘lepas tangan’.

“Pada 5 Jun lalu, Fan Sheng pernah telefon bapanya dengan menggunakan talian tetap dari Johor yang dikatakan nombor telefon cawangan restoran di sana.

“Apabila kami menghubungi kembali nombor tersebut, seorang pekerja beritahu mereka tiada di sana.

Malah, telefon bimbit mereka juga tidak aktif,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengesyaki kedua-dua beradik itu dikurung secara tidak sah dan melarang menziarahi bapanya yang semakin tenat sejak di masukkan ke hospital pada 4 Jun lalu.

“Majikan restoran itu sedar bahawa abang saya berada di hospital. Sekurang-kurangnya berikan ruang mereka untuk bercakap dengan saya bagi menjelaskan keadaan bapa mereka.

“Kami agak kesal dengan sikap majikan yang menghantar kedua-dua beradik itu ke Johor Baharu tanpa pengetahuan keluarga,” katanya.

Kok Leong berkata, laporan polis berkenaan dibuat kerana bimbang keadaan kedua-dua beradik itu dan mahu satu siasatan dibuat bagi mengesahkan dakwaan sama ada mereka dikurung secara tidak sah oleh majikan sendiri

Sinar Harian

Tiada ulasan: