25 Rejab 1433H. [MOD] -
SERI ISKANDAR - Lebih lima bulan menghilang, seorang bapa merayu anaknya, Ma Fatima Mior Norahan yang hilang sejak Januari lalu pulang ke pangkuan keluarga.
Mior Norahan Mior Mohammad, 58, berkata, Ma Fatima, 20, yang keluar dari rumahnya di Felcra Nasaruddin Belia sejak 2 Januari lalu sehingga kini masih tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, kehilangan anak gadisnya itu paling dirasai isterinya yang kini menderita sakit barah usus.
“Ma keluar dari rumah pada jam 4 petang 2 Januari lalu dengan membawa sebuah beg pakaian mengikut pintu belakang.
“Pada masa itu, ibunya sedang tidur di ruang tamu manakala saya tidur di dalam bilik. Apabila bangun saya melihat ke dalam biliknya dan mendapati dia sudah tiada manakala pintu belakang tidak berkunci,” katanya.
Mior Norahan berkata, sebelum kejadian dia telah memarahi anaknya kerana tidak mahu membantu melakukan kerja rumah memandangkan ibunya sedang sakit.
“Tetapi selepas itu dia hanya bersikap seperti biasa dan bersembang dengan ibu saudara yang datang melawat serta mengatakan dia mahu sambung belajar di Giat Mara dalam bidang kecantikan.
“Memang kami tidak ada sebarang masalah lain kecuali saya memarahinya tentang perkara itu dan tidak menyangka dia akan meninggalkan rumah,” katanya.
Mior Norahan tidak mengetahui anaknya itu mempunyai teman lelaki kerana tidak pernah menceritakan perkara berkenaan kepada keluarga.
“Sejak menghilangkan diri dia tidak pernah lagi menghubungi kami dan kami sendiri cuba menghubunginya tetapi tidak dapat.
“Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mencarinya termasuk membuat laporan polis kerana kami khuatir dengan keselamatannya ditambah ibunya yang sakit akibat terlalu merinduinya,” katanya.
Katanya, dia merayu anaknya pulang ke pangkuan keluarga melihat keadaan ibunya.
"Kami tidak marah kepadanya malah jika dia mahu berkahwin baliklah berbincang dengan kami," katanya.
Tambahnya, pada bulan lalu anak saudaranya ada melihat Ma Fatima di sebuah pasar raya di Ipoh, namun tidak sempat menegurnya.
“Saya merayu supaya dia pulang dan berharap orang ramai yang mengetahui keberadaan anaknya boleh menghubunginya di talian 019-503 7365,” katanya.
Ma Fatima sebelum itu pernah bekerja di sebuah kedai pakaian selama lima bulan di Seri Iskandar.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan