15 Jun 2012

202 disyaki lakukan jenayah

25 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU - Seramai 202 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah jalanan ditahan Polis Johor dari Januari hingga 10 Jun 2012.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, 20 daripada mereka merupakan warga asing dan daripada jumlah itu, 116 individu sudah dikenakan tindakan mahkamah.

“Jumlah itu direkodkan bagi enam bulan pertama tahun ini di mana 79 daripada mereka telah dibebaskan kerana disahkan tidak terbabit dalam kegiatan jenayah selain tidak polis tidak mencukupi bukti mengaitkan mereka.

“Bagaimanapun 25 individu daripada 202 ini telah dijatuhi hukuman selain 68 dalam perbicaraan mahkamah dan 23 diberi ikat jamin setelah dituduh,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini.

Mohd Mokhtar berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan lagi usaha mengesan lebih ramai penjenayah yang terbabit dalam pelbagai jenis jenayah di negeri ini.

Jelasnya, indeks jenayah di Johor juga menunjukkan pengurangan -9.69 peratus iaitu 8,488 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan 9,399 jenayah kekerasan dan jenayah harta benda yang direkodkan.

Manakala indeks jenayah jalanan juga berkurangan -43.78 peratus iaitu 1,125 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan rekod 2,001 kes.

Ia membabitkan 31 kes ragut, 171 kes samun tanpa senjata api, 923 jenayah samun berkawan tanpa senjata api.

Sinar Harian

Tiada ulasan: