15 Jun 2012

Mahkamah isytihar Parlimen Mesir tak sah, arah PRU baru

25 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH - Mahkamah Persekutuan Mesir mencetuskan kemarahan banyak pihak ekoran keputusannya semalam mengisytiharkan dewan rendah Parlimen tidak sah dan mengarahkan agar diadakan pilihan raya umum yang baru.

Keputusan pilihan raya Parlimen diadakan enam bulan yang lalu di mana dikuasai oleh anggota-anggota kalangan bukan Islam, yang jauh berbeza daripada era bekas Presiden Hosni Mubarak.

Menurut keputusan itu, pilihan raya umum tahun lalu - yang diadakan enam bulan selepas Hosni digulingkan, bercanggah dengan perlembagaan.

Keputusan itu menekankan bahawa satu pertiga kerusi adalah tidak sah, yang sekali gus menjejaskan kredibiliti keseluruhan sistem Parlimen dan wajar diadakan pilihan raya baru.

Keputusan ini diumumkan kira-kira dua minggu selepas Hosni dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Mohamed Mursi, wakil Ikhwanul Muslim, yang bersaing dalam pusingan kedua pemilihan presiden Mesir berkata, keputusan itu mesti dihormati.

Pusingan kedua pemilihan itu diadakan esok dan lusa.

Bagaimanapun beberapa pemimpin lain Ikhwanul Muslim mengecam keputusan itu.

"Saya menghormati keputusan Mahkamah Perlembagaan Agung, di mana saya menghormati institusi-institusi kerajaan dan prinsip pengasingan kuasa," kata Mohamed dipetik TV Mesir, semalam.

Keputusan mahkamah itu mencetuskan kebimbangan bahawa pihak tentera mahu memperluaskan kuasanya.

Seorang lagi pemimpin kanan Ikhwanul Muslim, Essam Al-Arian berkata, keputusan itu akan membawa Mesir ke era "terowong gelap."

Sementara itu, keputusan mahkamah yang berasingan memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq boleh terus bersaing dalam pemilihan pusingan kedua pemilihan presiden.

sinar harian/-

Tiada ulasan: