13 Syaaban 1433H. [MOD] -
MASJID TANAH - Penemuan beg serta barangan dipercayai hasil ragut, menggemparkan penduduk Kampung Londang, di sini, kelmarin.
Barangan tersebut ditemui di kawasan kebun milik penduduk di Jalan Laksamana Dua dipercayai lokasi persinggahan sementara peragut untuk menggeledah hasil kerja jenayah mereka.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, seorang penduduk, Rasul Ahmad, 46, terjumpa dengan beg tangan wanita semasa menebas semak samun di kebun getah miliknya.
“Semasa sedang menebas, mata saya terpandang satu objek pelik yang sebahagiannya tertanam. Pada mulanya, saya tidak hiraukannya, sebaliknya beredar ke kawasan lain,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian tidak sedap hati, lalu berpatah semula dan membelek objek berkenaan sebaik saja selesai kerja menebas.
“Saya mengambil sebatang kayu dan mencungkilnya beberapa kali sebelum berjaya dikeluarkan.
“Terkejut saya apabila mendapati barangan itu adalah beg tangan kulit dan di dalamnya terdapat kad pengenalan seorang wanita berbangsa Cina berusia 33 tahun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Rasul bagaimanapun percaya wanita terbabit adalah mangsa ragut sebelum begnya dilemparkan di kawasan semak itu.
Dia kemudiannya menghubungi Balai Polis Masjid Tanah berikutan penemuan itu.
“Sementara menunggu polis tiba, saya sempat membelek beg tangan berkenaan yang hampir dipenuhi dengan tanah dan akar kayu. Ia dipercayai dibuang di situ sejak sekian lama,” katanya.
Difahamkan, pemeriksaan polis turut menemui MyKad, lesen memandu, kad kredit dan kad ATM dan dokumen peribadi.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan