13 Syaaban 1433H. [MOD] -
PETALING JAYA: PKR hari ini mencadangkan agar kerajaan memberi kebebasan kepada pihak polis untuk memerangi jenayah bukannya memerangi rakyat yang berbeza fahaman politik.
Berkata kepada media di Ibu Pejabat PKR, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ali memberitahu mencegah jenayah adalah menjadi satu agenda nasional dan perlu diatasi segera.
Namun, katanya, dari menangani isu jenayah, kerajaan memilih untuk membebankan polis dengan kerja yang tidak masuk akal.
Dalam masa yang sama, kata beliau, kerajaan masih berkeras mengatakan kadar jenayah telah menurun walaupun hakikatnya adalah bertentangan.
"PKR percaya langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini adalah mengakui peningkatan jenayah adalah benar.
"Langkah kedua adalah memastikan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) membaik pulih sistem dan prosedur umum dalam tugasan mereka," jelasnya.
Dr Wan Azizah juga mencadangkan agar menghentikan menggunakan polis sebagai instrumen 'Police State'.
"Kami meminta kerajaan untuk menghentikan kerja polis Cawangan Khas (SB) mengintip rakyat.
"Kerajaan sepatutnya mengarah SB untuk memfokus pada kerja mengintip jenayah," katanya.
Menurut beliau, pada tahun 2010 SB telah menghasilkan 382 ribu laporan mengenai kegiatan politik rakyat.
Malah menurutnya lagi, SB juga telah menjalankan 351 ribu pemeriksaan keselamatan ke atas rakyatnya, pada keseluruhan SB telah menghasilkan 733 ribu laporan dan berjaya mengintip kira-kiran 4.3 peratus daripada penduduk dewasa di Malaysia.
"Sebagai bandingan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) cuma membuka 212 ribu fail jenayah iaitu kurang daripada 30 peratus daripada jumlah aktiviti mengintip SB.
"Oleh itu, kami mencabar kerajaan untuk mengarahkan 90 peratus aktiviti SB ke arah membanteras jenayah," tambahnya lagi.
Jelas Dr Wan Azizah lagi, jika kerajaan tidak boleh melakukan ini, maka rakyat mesti bangkit demi negara Malaysia yang lebih selamat dan mengakhirkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Sebelum itu, beliau turut mengulas tentang penjenayah yang kini lebih terdesak dan berani bertindak pada siang hari dengan menggunakan senapang dan senjata.
Kejadian jenayah yang semakin berleluasa ini menyebabkan rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan