03 Julai 2012

Samun mesin ATM: Lelaki Mesir ditahan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki warga Mesir bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun empat buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di pasar raya besar Carrefour di Wangsa Maju di sini kelmarin.

Lelaki warga asing berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di kawasan Wangsa Maju tidak jauh dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan tangkapan terhadap lelaki itu.

"Setakat ini hanya seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan dan penyiasatan lanjut berhubung kejadian kehilangan wang di mesin ATM tersebut masih diteruskan," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti suspek itu termasuk kemungkinan ada rampasan wang.

Akhbar semalam melaporkan sebanyak empat buah mesin ATM yang terletak di aras satu Carrefour di Wangsa Maju disamun sekumpulan penjenayah profesional menyebabkan kerugian sebanyak RM1.17 juta.

Dalam kejadian pada pukul 3.06 pagi itu, kumpulan suspek dipercayai lebih daripada dua orang menebuk pintu kayu yang terletak di belakang premis pasar raya itu sebelum memecah mesin ATM dengan alat pemotong besi menggunakan gas Oxy-Acetylene.

Agency

Tiada ulasan: