13 Syaaban 1433H. [MOD] -
KELANTAN tidak akan memberikan laluan mudah buat Negeri Sembilan meskipun turun tanpa beberapa tonggak utamanya yang mengalami kecederaan pada aksi Liga Super di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan malam ini.
Bagaimanapun, pengendalinya, Bojan Hodak tetap optimis pasukannya mampu meraih tiga mata penuh pada perlawanan tersebut dalam usaha menjarakkan kedudukan mata dengan pesaing terdekat, Lions XII yang kini hanya dibezakan dengan satu mata.
Oleh itu, Hodak menuntut barisan pemainnya memberikan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
“Kita pergi ke Paroi dengan separuh kekuatan kerana beberapa pemain utama mengalami kecederaan serta penggantungan perlawanan akibat kad kuning.
“Namun ia tidak mengusarkan kita kerana saya mempunyai perancangan untuk meraih tiga mata penuh lagi pun perlawanan ini cukup penting buat Kelantan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Antara pemain The Red Warriors yang mengalami kecederaan ialah penyerang prolifiknya Norshahrul Idlan Talaha, Zairul Fitree Ishak, S. Chanturu, manakala Nwaneri Obinna dan Nurul Azuan Roya digantung perlawanan akibat menerima tiga kad kuning.
“Begitu juga dengan Mohammad Ghaddar dan Mohd. Badri Radzhi. Kedua-dua pemain ini mengalami kecederaan dan peluang untuk diturunkan masih belum pasti, bagaimanapun kita tetap membawa mereka ke Paroi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hodak memberitahu bahawa dia tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun pasukan lawan bakal beraksi tanpa beberapa tonggak seperti Emannual Effa Owanan, Rashid Mahmud dan Aliff Shamsuddin.
“Namun mereka masih mempunyai pemain yang bagus seperti Shakir Ali. Saya telah mengarahkan barisan pertahanan untuk merantai pergerakan pemain ini yang cukup bahaya apabila berada di depan pintu gol,” jelasnya.
Agency
Tiada ulasan:
Catat Ulasan