03 Julai 2012

Umno Johor digesa bawa hudud kepada k'jaan negeri

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Johor menggesa Umno negeri itu mengemukakan cadangan pelaksanaan hukum hudud untuk semua kaum kepada kerajaan Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, cadangan itu tidak pernah dibuat oleh mana-mana negeri sama ada di Terengganu ataupun Kelantan.

"Dalam konteks Terengganu dan Kelantan, PAS bagi pilihan kepada orang bukan Islam sebagaimana dipraktikan zaman Nabi, iaitu apabila ada orang bukan Islam melakukan jenayah mereka diberi pilihan sama ada nak ikut hukum kitab Taurat ataupun al Quran," katanya kepada Harakahdaily.

Pada 20 Jun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia di mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.

Ayub berkata, beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam.

"Kalau begitu minta Ayub buat cadanganlah bahawa hudud itu untuk semua kaum dan warga negara tidak kira bangsa dan agama, kita minta dia cadangkan," kata Mahfodz.

Mahfodz juga mengalu-alukan niat murni Adun Johor terbabit dan mahu cadangan itu dirangka dengan betul-betul di kalangan mereka.

"Jangan hanya hendak PRU sahaja pandai bercakap, lepas PRU hilang semua apa yang pernah dicadangkan," katanya.

Beliau turut menegaskan hukum hudud adalah hukum Allah tidak ada istilah 'hudud PAS' atau 'hudud Umno'.

Cadangan Ayub itu, rupa-rupanya tidak pernah dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri sebelum ini, sehinggakan Jawatankuasa Agama Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman sendiri tidak berani memberi respons berhubung cadangan ini.

Ayub sebagai dipetik berkata, beliau mahu lihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan “hudud sebenar’ yang didakwa berbeza dengan hudud PAS.

Harakah Daily

Tiada ulasan: