13 Syaaban 1433H. [MOD] -
Saya tidak melihat fenomena "penghijrahan" artis-artis untuk menghayati gaya hidup Islami dalam konteks politik pilihan raya semata-mata. Tentunya sebagai aktivis PAS, saya cukup gembira dengan perkembangan mutakhir yang memberangsangkan ini.
Kalau ditanya nama-nama selebriti berkenaan, saya sendiri sukar membariskan senarai penuhnya; makin ramai, bertambah saban minggu dan mungkin menyusul nama-nama yang kita tidak terduga.
Malah, ada di kalangan mereka, bukan saja berubah penampilan, tetapi gigih menimba ilmu agama, mendampingi golongan ustaz dan ulama, serta bertindak nekad meninggalkan era lama yang melalaikan itu.
Lebih mengejutkan apabila selibriti terkemuka, seperti Bob Lokman, Aishah, Abby Abadi (sekadar menyebut beberapa nama) dan terkini Hairi Othman turut mengisi pentas ceramah PAS. Jadual program mereka penuh dengan undangan dari seluruh pelosok negara.
Lebih menarik, sebahagian besar bintang-bintang itu cenderung memilih PAS sebagai wadah politik atau sekurang-kurangnya selesa mendekati program dan personaliti Parti Islam itu, berbanding parti-parti yang lain. Maknanya, ada kesedaran menyeluruh untuk menghayati agama.
Saya tambah teruja dengan deretan panjang nama-nama besar dalam dunia hiburan yang memenuhi aktiviti surau dan masjid, misalnya Sham Kimikaze, Wardina Saffiyah, Catriona Ross dan Iwan Syahman. Pendekatan pendakwah paling tersohor, Ustaz Azhar Idrus, yang kelihatan santai bersama artis-artis tersebut, makin menyuburkan lagi suasana yang mendamaikan itu.
Tidak dilupakan generasi lebih awal seperti Azmil Mustafa, Noor Kumalasari, Akhil Hayy dan ramai lagi. Mungkin sebahagiannya tidak berminat untuk bersama parti-parti politik pembangkang, tetapi saya sudah cukup senang jika mereka berupaya menyuntik satu hembusan segar dan kudus dalam dunia seni hiburan kita.
Sebenarnya, tanpa perlu menunggu lebih ramai golongan seniman menyertai PAS atau oposisi lain un, bagi saya, cukuplah dengan perkembangan positif dunia hiburan tanahair, untuk mendorong jiwa menjadi tenang dan damai, serta dapat menghayati keindahan seutuhnya. Harapnya muncul penggiat seni, dalam semua genre, dapat menampilkan sesuatu yang serasi dengan fitrah insani.
Selama ini, isu hiburan, atau dalam konteks lebih luas, seni budaya (begitu juga persoalan berkaitan sukan, wanita dan golongan non Muslim), apabila dikaitkan dengan gerakan Islam atau parti politik Islam, bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia, kerap menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Sebahagian melihat aktiviti seni mudah mengundang fitnah, tohmah dan salah anggap.
Tidak dinafikan, ramai menaruh kebimbangan tentang bentuk pengisian mengenai hiburan oleh kumpulan Islam apabila mereka diberi amanah untuk menerajui kerajaan. Ada yang bertanya: "Bagaimana program TV jika parti Islam berkuasa? Apa nasib pawagam dan industri filem? Teater atau persembahan bagaimana untuk memenuhi panggung Istana Budaya? Aktiviti sukan pula macamana? Kegiatan seni budaya termasuk warisan tradisi? Atau hanya nasyid dan lagu bertemakan kemanusiaan sahaja yang dibenarkan? Apa jadi nasib penyanyi wanita? Semua pelakon wanita mesti tutup auratkah?"
Terus-terang saya nyatakan, sewaktu PAS membuka laluan seluas-luasnya, serta membentang permaidani merah, malah mendorong dan mendakap erat mereka yang mahu bersama perjuangan Islam -- juga yang bersedia menanggung risiko buruk daripada pemerintah terutama dengan tindakan "menggam" -- saya terfikir apakah kita sudah bersedia sepenuhnya (baca sejujurnya) untuk menyediakan ruang atau gelanggang buat rakan-rakan kita itu untuk terus berkarya dan "menghibur"?
Sudah pasti tidak semua selebriti berkenaan berminat dengan politik (karenah siasah, bagi sesetengah orang cukup memenatkan) atau berupaya menyampaikan ceramah atau kuliah dengan baik. Lagipun jelajah politik ini agak bermusim sifatnya; ia memang rancak menjelang pilihan raya umum tetapi kembali tenang selepas itu.
Sambil mengalu-alukan personaliti kental seperti Aishah dan Dayangku Intan, yang sanggup menjelajah segenap penjuru tanahair (difahamkan ada di antaranya keseorangan memandu dalam perjalanan yang jauh), bagi menimbulkan kesedaran rakyat untuk bersama Pakatan Rakyat dalam PRU13, bagaimana pula dengan kelompok artis, misalnya, yang mula menutup aurat dengan sempurna, menjaga perwatakan dan pergaulan, serta berazam menabur bakti melalui aktiviti seni Islami, atau sekurang-kurangnya yang tidak bercanggah dengan adab susila?
Saya pernah menimbulkan kepentingan empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk bertindak proaktif menyemarakkan kegiatan seni budaya, sekali gus menghampar peluang, dengan peruntukan, kemudahan dan bajet tertentu, yang "selesa".
Malah, aktivis budaya, Dinsman terpaksa menerbitkan buku khas, berjudul Pemikiran dan Perancangan Seni-Budaya, yang ditujukan khusus kepada para pemimpin politik di Malaysia, "teristimewanya Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor".
Rakan saya bertanya, "mengapa Dinsman tidak mengkhususkan sekali bukunya itu untuk perhatian tiga ketua negeri Pakatan Rakyat yang lain?" Beliau merujuk kepada Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Ustaz Azizan Abd Razak dan Lim Guan Eng.
Memang Khalid, di majlis Konvensyen Penulis Selangor, 26 Jun 2011, mengumumkan tawaran dana khas untuk penulis dan seni budaya negeri itu sebanyak RM2.5 juta. Bagaimana pula dengan Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan?
Kritikan terhadap komitmen kerajaan Pakatan Rakyat terhadap aktiviti seni budaya turut disuarakan penulis lirik popular, Buddhi Hekayat, yang terkenal dengan dengan lagu "Awan Nano" nyanyian Hafiz AF, yang dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 26.
Beliau, yang nama sebenarnya Hasmi Hashim, mendakwa kerajaan Pakatan ketinggalan dan "lebih jauh dan lemah" berbanding kerajaan BN dalam memartabatkan seni budaya dan kebajikan seniman.
Hasmi turut mempersoalkan program apa yang dianjurkan selama empat tahun kerajaan Pakatan memerintah di beberapa negeri.
"Kita faham debat hudud antara kerajaan Kelantan dan kerajaan persekutuan. Maksudnya nak melaksanakan hudud (kerana) perlu kelulusan kerajan persekutuan. Tetapi untuk memberi dana yang cukup untuk membiayai program kebudayaan, tidak perlu tunggu kerajaan persekutuan," katanya dalam forum "Artis berpolitik: Sekadar glamor atau prinsip" di ibu negara, malam 28 Jun, bersama Hairie Othman dan Zed Zaidi.
Apa pun, sekurang-kurangnya Kelantan telah menganjurkan siri 'Bicara Selebriti' yang mendapat sambutan hangat, bukan saja membabitkan artis dalam negeri, tetapi juga bintang Ketika Cinta Bertasbih, Oki Setiana Dewi.
Dan tentu ramai masih ingat, langkah kerajaan Kelantan meraikan penyanyi yang tiba-tiba melonjak naik melalui program Akademi Fantasia, Mawi. (Sebenarnya saya masih meminati Mawi, yang juga hilang secara tiba-tiba; merdu suaranya sesuai sesuai dengan nasyid dan juga lagu kemanusian). Ramli Sarip dan M Nasir juga pernah diundang ke Serambi Makkah, mempersembahkan nyanyian dalam majlis yang dihadiri pimpinan PAS Negeri. (Tiba-tiba saya terkenang penyanyi Ito, Blues Gang, yang kerap memenuhi undangan Barisan Alternatif semasa era reformasi 1998-99 dahulu. Lagu-lagu ketuhanannya juga memikat).
Bekas Mufti Perak, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang pernah diundang ke majlis 'Bicara Selebriti', memberi komentar menarik mengenai pengisian program tersebut, dengan merujuk isu-isu pokok dalam dunia seni: "Ada perbezaan pendapat dalam kalangan sarjana fekah mengenai persoalan nyanyian dan muzik. Dalam persoalan khilaf yang muktabar seperti ini, seseorang berhak memilih pandangan dia yakini dan tidak boleh memaksa orang lain meyakini apa yang dia yakini.
"Ertinya, setiap Muslim berhak berpegang dengan pandangan yang dia rasa lebih rajih atau kukuh. Dia tidak boleh mewajibkan pandangan tersebut ke atas orang lain, jika mereka mentarjihkan pandangan yang berbeza. Ini khilaf yang diiktiraf atau khilaf mu’tabar. Tiada siapa yang berhak memaksa pilihannya ke atas orang lain. Maksudnya, jika ada yang mengharamkan muzik, maka tidak boleh dia memaksa pandangan yang sama ke atas mereka yang mengharuskannya. Demikian sebaliknya."
Beliau kemudiannya mengulas teraju utama di sebalik 'Bicara Selebriti', iaitu Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah: "Beliau (Baihaqi) anak tuan guru pondok Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Atiqullah Yaakob. Latar belakang agamanya dan sikapnya yang terbuka patut menjadi contoh kepada banyak pihak. Beliau adalah salah satu bukti bahawa kepimpinan agama di Kelantan bersikap rasional dan meraikan perbezaan latar belakang rakyat."
Secara peribadi saya kira Aishah mempunyai kerangka idea yang agak jelas tentang perubahan seni hiburan yang dihasratkannya. Elok pemimpin PAs dapat berkongsi idea dengannya. Saya masih teringat ucapan pendek dan ringkas Aishah di hadapan 100,00o orang di Stadium Darulaman, Alor Setar, dalam Himpunan Hijau Ke Putrajaya, 1 Jun lalu.
Lebih sesuai dianjurkan satu program ramah mesra membabitkan pimpinan tertinggi parti bukan sahaja bersama personaliti popular yang menyertai PAS tetapi juga penggiat budaya, yang mahu memartabatkan dunia seni ke landasan yang diredai Allah.
Pastinya saya turut terharu dengan pengakuan Abby Abadi, dalam program Pemuda PAS Kuala Kedah, 26 Jun lalu. Meskipun belum menyertai PAS, beliau secara terbuka melafazkan: "Demi Islam, saya tidak lagi takut kepada manusia dan bimbang akan kehilangan semua kerana ia datang daripada Allah. Sekiranya saya tidak dibenarkan lagi keluar di TV, tak apalah, sebab saya sayangkan agama saya."
Namun, cetusan rasa (dan kritikan) rakan saya, Zunar, menarik untuk direnung bersama: "Di bawah Pakatan, Bob Lokman harus terus mencipta lagu, Dayang Ku Intan dan Aishah harus terus menghasilkan album, Abby Abadi dan Hairie Othman harus terus berlakon ...
"Pakatan gagal menyambut kehadiran artis dengan cara sewajarnya. Setakat ini tiada usaha untuk mengadakan konsert yang menggabungkan artis-artis yang berhijrah. Tiada juga usaha menghasilkan album lagu-lagu reformasi. Tiada juga usaha untuk menghasilkan filem yang mencatat sejarah perjuangan dan sebagainya.
"Produksinya bukan mudah kerana memerlukan belanja besar. Tetapi apakah dengan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, peruntukan kebudayaan di negeri masing-masing tidak boleh untuk tujuan ini?
"Warga artis sedang menanti apakah Pakatan akan mengembalikan martabat artis dengan membebaskan mereka dari belenggu BN. Kerana itu konsep hiburan altenatif yang bakal dilaksanakan jika Pakatan mengambil alih Putrajaya kelak, wajar dilaksanakan sekarang."
Harakah Daily
1 ulasan:
Kehadiran artis ke dalam arena politik sekaligus menyertai PAS harus disambut oleh pihak kepimpinan dengan sebaiknya. Selain mereka diberi ruang untuk bercakap di pentas politik, mereka juga perlu dimasukkan ke dalam bengkel kesedaran dan kefahaman Islam dari masa ke masa.
Pada masa yang sama, kepakaran mereka dalam dunia seni harus disuburkan ke arah melahirkan seberapa banyak drama atau filem yang boleh membangkitkan kesedaran Islam kepada rakyat. Sebahagian mereka boleh menulis skrip dan layak menjadi pengarah. Peluang ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Catat Ulasan