03 Julai 2012

Tiada yang mustahil

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

IBARAT aksi final, jika tewas terpaksa ucap selamat tinggal.
Itu mesej Ong Kim Swee terhadap pemain Harimau Muda menjelang pertemuan ‘hidup dan mati’ berdepan tuan rumah, Myanmar dalam aksi terakhir Kumpulan G kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) di Stadium Thuwunna, Yangon malam ini.

Atas kertas, Harimau Muda dilihat masih selesa apabila menduduki tempat ketiga terbaik daripada tujuh kumpulan setakat ini berbanding India (Kumpulan A - tujuh mata), Kyrgyzstan (Kumpulan B - empat mata), Qatar (Kumpulan C - enam mata), Yaman (Kumpulan D - tujuh mata) dan Laos (Kumpulan F - enam mata) sementara aksi Kumpulan E yang membabitkan Jepun, Australia, Indonesia, Singapura, Macau dan Timor Leste pula masih belum bermula.

Namun, Kim Swee enggan memperjudikan nasib pasukannya serta berazam mahu melakar kemenangan sekali gus menyambar slot automatik ke pusingan akhir tahun depan.

“Aksi menentang Myanmar diibaratkan seolah-olah perlawanan akhir yang sebenar, jadi saya enggan memikirkan pilihan untuk layak berdasarkan kedudukan ketiga terbaik.

“Kami wajib menang memandangkan keputusan seri atau tewas berkemungkinan menyebabkan kami tersingkir.

“Meskipun sukar berdepan Myanmar di depan penyokong sendiri, bagi saya tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya semasa dihubungi Kosmo! di Myanmar.

Skuad muda negara kini menghuni tempat ketiga Kumpulan G dengan sembilan mata hasil tiga kemenangan dan sekali tewas sebelum ini, ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dan juga Korea Selatan.

Selepas tewas 2-3 kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan, Harimau Muda kembali bangkit membelasah Filipina (7-0), Taiwan (4-2) sebelum menewaskan Vietnam 3-0 Sabtu lepas.

Sebanyak 16 pasukan yang merangkumi dua pasukan terbaik dari tujuh kumpulan akan layak ke pusingan akhir tahun depan bersama tuan rumah dan satu lagi pasukan yang muncul pasukan ketiga terbaik peringkat kelayakan.

Dalam pada itu, Kim Swee turut mempertahankan kredibiliti ‘arkitek’ negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sekadar diturunkan sebagai pemain gantian ketika berdepan Filipina dan Taiwan, selain dia juga langsung tidak diturunkan ketika menentang Vietnam tempoh hari.

Sebagai rekod, Nazmi Faiz yang akan mula beraksi bersama kelab Portugal, SC Beira Mar selepas aksi kelayakan itu tamat hanya beraksi dalam kesebelasan utama ketika menentang Korea Selatan sebelum mula kehilangan tempat ekoran kecemerlangan Gary Steven Robbat.

“Tidak diturunkan dalam kesebelasan utama bukan bermakna Nazmi Faiz tidak bagus, saya perlu menurunkan pemain yang sesuai menjelang mana-mana perlawanan tertentu.

“Malah, tidak mustahil saya merehatkan Mohd. Rozaimi Abdul Rahman yang telah meledak sembilan gol setakat ini ketika menentang Myanmar (malam ini),” katanya berteka-teki.

Ketiadaan Shahrul Saad yang digantung perlawanan akibat layangan kad kuning juga mungkin memaksa Kim Swee meletakkan semula Mohamad Fandi Othman di bahagian pertahanan tengah bersama Mohd. Fadhli Mohd. Shas malam ini.

Posisi asal Mohamad Fandi di bek kiri pula dijangka diisi oleh ‘wira tak didendang’, Nazirul Naim Che Hashim yang dilihat cukup cemerlang ketika menentang Vietnam.

Agency

Tiada ulasan: