13 Syaaban 1433H. [MOD] -
BEDAH BUKU: Ramai antara kita yang tidak faham mengapa senyum adalah sedekah. Ramai juga yang tidak faham mengapa digalakkan berdoa, berzikir, istighfar dan jangan ditinggalkan sembahyang.
Segalanya ini dibongkar jelas oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di dalam buku sulungnya ‘Senyumlah’ yang dilancarkan dengan jayanya 1 Julai 2012 lepas.
Pelancaran dilakukan oleh Tuan Guru Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya, Peringkat Pahang di Dataran Hikmah, Kerdau.
Segala ciptaan Allah adalah sempurna. Begitulah juga dengan sistem badan manusia.
Namun demikian, ramai manusia yang tidak faham bagaimana sistem badannya berfungsi dan apakah kaitan ajaran Islam kepada sistem badan manusia.
Sebenarnya semua berkait, secara jelas tapi terlindung.
Di sebalik buku motivasi yang mudah dibaca dan bersifat santai ini, Ustaz Tuan Ibrahim menyelit keajaiban peranan air liur yang bakal membuka dimensi baru dalam pemahaman agama Islam.
Sedarkah kita, selain bernafas, apakah yang dilakukan manusia setiap minit tanpa sedar?
Iaitu menelan air liur.
Ketika kita melihat benda lazat, air liur terjana, dan kita menelan secara tidak sedar.
Ketika kita membaca, air liur terjana, dan kita menelan secara tidak sedar.
Begitu juga ketika sembahyang, ketika berzikir, beristighfar dan juga mengumpat!
Mudahnya air liur sebenarnya elemen terpenting sistem badan manusia yang menjaga tubuh badan – segalanya bermula daripada mulut – dan elemen menjaganya adalah air liur.
Menurut Ustaz Tuan Ibrahim, air liur terbahagi kepada dua, air liur baik dan air liur beracun.
Yang baik, semakin banyak ditelan, semakin hati terasa tenang dan semakin susah minda bermain ilusi di depan mata.
Yang beracun, semakin banyak ditelan, semakin banyak dendam kesumat, semakin banyak keresahan dan minda diselubungi ilusi-ilusi yang negatif sehingga emosi terganggu.
Daripada teori air liur yang dikemukakan Ustaz Tuan Ibrahim, jawapan barangkali mengapa Allah mewajibkan dan menyarankan banyak perkara pada umatnya untuk dilaksanakan setiap hari kini sudah terbongkar.
Dan mengapa saranan untuk menjaga makanan, kata-kata dan menghindarkan diri daripada mengumpat juga terbongkar.
Yang ajaibnya, semua ini boleh diterangkan menggunakan teori air liur yang ditulis Ustaz Tuan Ibrahim di dalam bukunya.
Tulis beliau:
“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari aleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain.
Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh, maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.
Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya.”
Selain teori air liur, Ustaz Tuan Ibrahim juga memperincikan bagaimana minda sering diancam permainan bisikan syaitan yang mencetuskan pelbagai imej di depan mata yang mengganggu kehidupan manusia.
Seperti kata di belakang buku, buku Senyumlah tulisan Ustaz Tuan Ibrahim ini telah membuka dimensi baru dalam konteks pemahaman agama Islam.
Sukar dijumpai sebuah tulisan yang menonjolkan tahap pemahaman agama dan kehidupan yang begitu tinggi.
Banyak nasihat di dalamnya tidak ternilai harganya dan perlu dibaca oleh seramai mungkin untuk sama-sama “Senyum” tatkala mengharungi ujian Allah di dunia sementara ini.
Kini Ustaz Tuan Ibrahim telah berkongsi rahsia beliau – diharap semua, terutamanya pemuda-pemudi yang sedang mengharungi kehidupan dapat membacanya sebagai penyuluh lampu kehidupan.
Untuk pembelian buku, sila ke alamat www.facebook.com/ustaztitm atau email viventure2012@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Harga Buku: RM 17 Semenanjung, RM20 Sabah dan Sarawak.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan