13 Syaaban 1433H. [MOD] -
KLUANG – Sekumpulan enam pelesit rempit yang berang apabila kegiatan haram mereka cuba diganggu bertindak ala samseng apabila menendang motosikal dinaiki seorang anggota polis hingga menyebabkan mangsa cedera parah dalam kejadian di Machap dekat sini semalam.
Kejadian pukul 2.45 pagi itu menyebabkan Konstabel Zuherry Zulkifli, 22, patah tangan kiri selain terpaksa menerima sembilan jahitan di tapak tangan kanan dan cedera di dagu.
Mengimbau semula kejadian itu, Zuherry memberitahu, dia yang sedang melakukan rondaan bersendirian dengan memakai seragam polis telah terserempak dengan sekumpulan pelesit rempit menunggang lima buah motosikal dalam keadaan laju dan bahaya di Kampung Batu 6, Jalan Machap-Ayer Hitam.
Katanya, dia cuba mengejar kumpulan tersebut tetapi gagal sebelum membuat keputusan untuk pulang ke Balai Polis Simpang Renggam.
“Tanpa disangka, pelesit rempit itu mengejar saya pula. Sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z kemudian menghimpit saya sebelum pemboncengnya mengugut untuk menendang saya jika enggan berhenti.
“Saya terus beredar kerana bimbang mengenai keselamatan diri. Bagaimanapun, selepas bergerak kira-kira 200 meter, pembonceng motosikal Yamaha 125Z itu terus menendang motosikal saya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Kluang di sini semalam.
Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan