03 Julai 2012

‘Road Gang’ inovasi jimatkan penyelenggaraan jalan

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA: Konsep pembaikan kerosakan jalan oleh pasukan khas pihak berkuasa tempatan yang dinamakan 'Road Gang' telah berjaya menjimatkan kira-kira tiga kali ganda wang kerajaan berbanding jika ianya diserahkan kepada kontraktor.

Misalnya, kerja perlaksanaan ‘Patching’ (penurapan kerosakan jalan) melalui Road Gang hanya menelan belanja RM26.38 bagi satu meter persegi berbanding dengan perlaksanaan kontraktor sebanyak RM90.97 meter persegi.

Manakala bagi kerja-kerja membaharu muka jalan yang dilakukan oleh jabatan akan menelan belanja sebanyak RM200 per tan berbanding yang dilakukan oleh kontraktor iaitu sebanyak RM251.40 per tan, lapor media kerajaan Selangor, Selangorku.com.

Road Gang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan awam yang dilaksanakan sendiri secara jabatan dengan mengambil kira pengurusan skop, kos, masa dan kualiti bagi mencapai hail kerja yang berkualiti, cepat dan berpatutan dengan wang yang dilaburkan.

Perkara ini diceritakan oleh Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor, Shukri Ishak dalam satu taklimat beliau kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Abdul Khalid, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan,

Shukri membentangkan perkara ini dalam Dialog Bajet Selangor 2013 bertajuk ‘Pengurusan projek yang mampan menjamin pengimbangan kualiti, kos, skop dan masa di samping membudayakan penyelenggaraan jalan raya secara in house’.

Penubuhan Road Gang itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bagi menjimatkan kos penyelenggaraan.

Ia diwujudkan kerana penswastaan penyelenggaraan jalan yang giat dijalankan dalam masa beberapa tahun ini banyak memakan wang kerajaan.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abd Rahman berkata tiga masalah utama yang timbul dalam perlaksanaan itu ialah peralatan yang tidak mencukupi, kakitangan yang tidak terlatih dalam pengendalian kerja-kerja dan kos penyelenggaraan tinggi.

Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan meningkatkan latihan amali dan kursus teknikal kepada pekerja, menambah kakitangan kontrak, menyewa peralatan yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dibeli, memberi intensif elaun panas kepada kakitangan dan melakukan secara berperingkat mengikut kemampuan jabatan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: