03 Julai 2012

TSG intai pelumba Eropah

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

TERENGGANU Cycling Team (TSG) kini mengintai kelibat bakat-bakat baharu dari Eropah untuk menghadapi kejohanan antarabangsa pada tahun hadapan.

Malah, pelumba daripada beberapa negara yang berpotensi seperti Perancis, Austria dan Crotia berada dalam senarai teratas TSG untuk memperkuatkan pasukan itu.

"Biarpun begitu, kami tidak mahu terburu-buru dalam membuat pemilihan. Kami sudah mempunyai tiga pelumba import iaitu dua dari Jepun dan seorang dari Korea Selatan.

Malah, pelumba tempatan, Mohd. Harris Salleh (gambar) juga bertaraf Asia.

"Cuma sekarang, kita lihat ada keperluan untuk mempunyai seorang lagi pelumba import yang berkualiti," kata Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Hadi Hassan.

Tambahnya, TSG memutuskan untuk melakukan pencarian pelumba import tersebut untuk menambahkan kekuatan pasukan bagi menyertai kejohanan pada tahun hadapan.

"Tidak dinafikan, pencarian lebih terarah kepada nama-nama besar dalam arena berbasikal di Eropah sendiri. Lebih mengejutkan, sehingga kini, ada kalangan pelumba yang memohon sendiri untuk menyertai TSG," katanya yang tetap melakukan pemilihan tersebut dengan berhati-hati.

"Kami tidak mahu tersalah pilih gara-gara melakukan pemilihan secara tergesa-gesa. Kami mahu hasil yang baik dan memberi manfaat kepada pasukan dalam jangka masa pendek dan panjang," tegasnya.

Bukan sekadar melakukan pencarian di Eropah, Hadi turut mengintai bakat pelumba menerusi Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang nanti.

"TSG memerlukan sekurang-kurangnya empat pelumba muda yang mampu membuktikan kewibawaan dalam temasya itu sebelum ditawarkan kontrak.

"Kontrak baru juga akan ditawarkan kepada pelumba-pelumba sedia ada pada Oktober ini sebagai persiapan menghadapi musim baru perlumbaan tahun depan.

Agency

Tiada ulasan: