22 November 2012

Musa Abu Marzouk: Hamas akan pertahankan bumi Gaza

8 Muharram 1433H. [MOD] -





(Dr Syed Azman bergambar dengan Dr Musa dalam pertemuan mereka di Kaherah)

KAHERAH: “Hamas tidak akan berganjak walau satu inci pun dari bumi Gaza. Kami akan terus memperjuangkannya," kata Dr. Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik Gerakan Pembebasan Palestin (Hamas).

"Ini adalah tuntutan perjuangan kami sehingga kami dikuriakan kemenangan,” tambah beliau kepada deligasi PAS yang diketuai oleh Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Di tengah-tengah kesibukan menangani serangan berterusan tentera Zionis Israel di Gaza, Dr. Musa Abu Marzouk masih sempat meruangkan masa menerima kunjungan  Dr. Syed Azman dan rakan-rakannya.

Dr Syed Azman yang mewakili seluruh pimpinan PAS, singgah sebentar di kota Kaherah untuk bertemu dengan pimpinan Hamas bagi menyatakan sokongan padu PAS kepada seluruh rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan perang dengan Zionis Israel.

Dalam pertemuan tersebut, Dr. Musa melahirkan kekesalan beliau terhadap sikap ‘double standard’ Amerika Syarikat yang terus menyokong dan membela serangan berterusan sekutunya Israel terhadap bumi Gaza.

Sehingga kini, hampir setiap hari bumi Palestin di ceroboh secara rakus dan pembunuhan terhadap warga Palestin terus dilakukan secara kejam oleh tentera-tentera Zionis Israel tanpa sebarang perikemanusiaan.

Bagi beliau, perkembangan yang sedang berlaku di bumi Gaza, ada amat memilukan.
Tentera Zionis Israel dengan sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya terus menerus menyerang dengan mengebom dan mengepung bumi yang berpenduduk 1.6 juta orang itu tanpa sebarang perikemanusiaan.

Setakat ini mereka telah membunuh ratusan rakyat awam Palestin serta mencederakan lebih 2000 penduduk awam.

Tentera Zionis ini juga telah bertindak memusnahkan beratus-ratus buah bangunan, termasuk sekolah, pejabat dan stesen TV.
Mereka juga bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk di Gaza.

Dr. Musa terus menegaskan bahawa, walaupun kini telah diadakan ‘gecatan senjata’ antara Hamas dan tentera Israel, Hamas tidak akan teragak-agak untuk melakukan gerakan ketenteraan baru sekiranya sekatan ke atas Palestin masih diteruskan dan penceroboh tentera Zionis Israel di bumi Palestin terus menerus dilakukan tanpa menghormati sebarang undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata, “keadaan kekejaman yang berterusan ini akan membawa kepada ledakan yang besar bagi rakyat Palestin dan dunia Islam menentang penjajahan berterusan rejim Zionis”.

Namun di akhir pertemuan tersebut, Dr. Musa sekali lagi melahirkan ucapan terimakasih kepada seluruh pimpinan PAS terutamanya Presiden PAS Datuk Sri Tuan Guru Abdul Hadi yang sentiasa berdiri teguh bersama Hamas dan tidak putus-putus membantu rakyat Palestin.

Begitu juga ucapan terimakasih beliau kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan membantu penduduk Gaza bagi meringankan bebanan mereka.

Beliau menyatakan; "Sampaikan salam perjuangan kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan bumi Palestin. Bantulah kami sedaya mungkin bagi berhadapan dengan kekejaman Zionis Israel ini, sekurang-kurangnya dengan doa”. 

harakah/-

Tiada ulasan: