22 November 2012

Beranikah Najib pasang kamera AES di Pekan?

8 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Beranikah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memasang kamera AES di Pekan untuk menunjukkan sokongan kepada keputusan kabinet yang diketuai beliau bahawa sistem ini adalah baik untuk rakyat?

Sumber dalaman Umno yang berang dengan keputusan kabinet untuk meneruskan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berkata sepatutnya Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin patut menunjukkan model contoh dengan memacak beberapa kamera AES di Pekan dan Pagoh.

“Bagi ahli parliamen BN yang menyokong juga sepatutnya membawa 4 kamera seorang untuk balik ke kawasan masing-masing dan mula mengurangkan kadar kemalangan. Sudah tentu rakyat di kawasan parlimen mereka sokong.

Bagi Menteri Besar negeri-negeri BN pula tunjukkan sokongan kata kamera AES yang Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang yang tidak mahu dipasang semua bawa ke negeri masing-masing. Kena bermula dengan Pahang dan Johor, negeri kelahiran Najib dan Muhyiddin,” sindir beliau yang ternyata sangat berang dengan keputusan tersebut.

Ketika ditanya Harakahdaily, mengapa kabinet Umno-BN masih meneruskan hasrat untuk memasang kamera AES meskipun tahu ia bakal mengundang kehilangan undi di PRU-13, sumber dalaman Umno tersebut tidak menjawabnya secara direct.

“Lu pikirlah sendiri. Apa yang Umno dewakan sehingga tidak sanggup menarik balik AES. Mengapa AES tidak seperti juga GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang ditangguhkan sehingga PRU-13 selesai. Lu pikirlah sendiri lagi,” jawabnya sambil berseloroh.

Mengenai perhimpunan Umno akan datang, sumber dalaman Umno itu berkata pasukan Muhyiddin kini sedar kemungkinan tuan mereka menjadi Ketua Pembangkang adalah amat berkemungkinan.

“Jikalau Umno kalah pilihanraya, anta ingat Rosmah sanggup digelar sebagai isteri Ketua Pembangkang? Sudah pasti, Muhyiddin yang bakal jadi Ketua Pembangkang masa itu. Siapa lagi yang sanggup jadi Presiden Umno yang pertama yang jadi Ketua Pembangkang, tiada yang sanggup, tapi next in line ialah Muhyiddin,” kata beliau.

Ditanya apa pandangan dalam Umno mengenai Muktamar PAS ke 58 yang baru berlangsung baru-baru ini, sumber dalaman Umno berkata ada satu perkara penting yang ingin ditutup Umno dan medianya.

Perkara paling penting katanya ialah deklarasi harta oleh Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan, yang disambut oleh Timbalan Presiden Mohamad Sabu.

“Yang paling kita tidak sangka, di ucapan pergulungan Hadi (Tuan Guru Presiden PAS) turut menyatakan sokongan terbuka kepada tindakan Nasrudin. Jika PAS betul dapat mewajibkan deklarasi harta untuk semua calonnya di PRU13, Umno akan sangat tertekan, kerana calon-calon yang dipilihnya ramai yang tidak sanggup melakukannya, terutamanya sekarang dengan kewujudan Rafizi (Ramli) dan NOW yang fokusnya untuk mencungkil maklumat kroni Umno,” kata beliau.

Deklarasi harta Nasrudin, katanya menjadikan keadaan perbandingan Umno dengan PAS menjadi 8-0 untuk pimpinan atasan – di mana Murshidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dibandingkan dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, Najib dibandingkan dengan Tuan Guru Abdul Hadi, Muhyiddin dengan Mohamad Sabu, Hishamuddin, Ahmad Zahidi, Shafei Afdal dibandingkan dengan Salahuddin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Husam Musa, Ahmad Maslan dengan Dato Tuan Ibrahim dan terkini Nasrudin dibandingkan dengan Khairy.

“Bagi Dewan Muslimat PAS, kalau Siti (Zailah) dapat buat deklarasi harta dan menekan Shahrizat Jalil, akan terus jadi 9-0,” kata sumber dalaman Umno itu lagi.

Dalam isu cadangan Hadi sebagai PM, sumber dalaman Umno itu berkata Utusan dan media Umno tersilap langkah.

“Yang mereka war-warkan selama ini ialah DAP akan berkuasa, negara Kristian akan bertapak. Tiba-tiba sekarang mereka bagi mesej samada Anwar (Ibrahim, Ketua Umum PKR) atau Hadi yang akan jadi Perdana Menteri. Ini seolah menampar dakwaan diri sendiri terdahulu – mereka cuba takutkan orang Melayu selama ini bahawa DAP berkuasa, sekarang mereka hilangkan perasaan takut tersebut dengan mengesahkan Anwar atau Hadi akan menjadi PM.

Lebih teruk, sekarang rakyat berbicara samada Anwar atau Hadi jadi PM seolah-olah sudah pasti Umno tidak akan menjadi PM lagi. Nak kata bodoh, mereka marah,” kata beliau sebelum beredar mengejar satu mesyuarat di Putrajaya.

harakah/-

Tiada ulasan: