22 November 2012

Apa nasib 92 pensyarah UPNM ditamat kontrak

8 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seramai 92 orang pensyarah kontrak ditamatkan perkhidmatannya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata matlamat sebenar penubuhan UPNM adalah untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang pertahanan.

“Jadi kebanyakan mereka yang diambil sebagai pensyarah itu merupakan individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang pertahanan.

"Kebanyakan mereka yang ditamatkan kontrak tu mempunyai pengalaman dalam bidang pertahanan, tetapi kenapa khidmat mereka ditamatkan.

"Bukankah itu matlamat penubuhan UPNM yang mahu melahirkan tenaga-tenaga pakar dalam bidang tersebut, jika mereka yang mempunyai kepakaran dihentikan bagaimana UPNM dapat mencapai apa yang dikehendaki," jelasnya.

Salahuddin menyatakan tindakan beliau itu bukan untuk mencampuri urusan pentadbiran di universiti tetapi ia adalah keprihatinan terhadap masalah yang dihadapi 92 orang pensyarah itu.

"Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan pentadbiran universiti tetapi saya melihat kepada faktor kebajikan mereka yang dihentikan.

"Pada awal penubuhan mereka dipanggil untuk memberi sumbangan serta pengalaman yang mereka ada tetapi setelah mereka curahkan khidmat ia ditamatkan begitu saja," sambung beliau.

Semalam, Naib Presiden PAS itu ketika berbahas di peringkat jawatankuasa Kementerian Pengajian Tinggi telah membangkitkan perkara tersebut.

Namun jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai penamatan kontrak.

"Jawapan menteri amat ringkas, kenapa nasib mereka tidak dibela. Sumbangan mereka besar dan tidak sepatutnya dilayan sedemikian.

"Inilah nasib angkatan tentera, mereka dilayan sedemikian dan kepakaran serta sumbang mereka tidak dihargai langsung," tambah beliau.

Salahuddin yang turut mencadangkan semalam agar satu badan khas ditubuhkan oleh kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Dalam pada itu beliau turut menyatakan satu pertemuan akan diadakan dengan pihak universiti dan pensyarah-pensyarah yang ditamatkan kontrak bagi mencari jalan penyelesaian.

harakah/-

1 ulasan:

shidine didine rahman berkata...

tak cukup peruntukan nak bayar gaji...