8 Muharram 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR – Dua ahli Umno dari kawasan Semporna Sabah dipecat
manakala seorang digantung tiga tahun atau satu penggal pemilihan kerana
didapati bersalah terbabit dalam kes sabotaj parti.
Tindakan ini susulan penubuhan satu jawatankuasa khas baru-baru ini
bahawa sesiapa yang didapati mensabotaj parti akan dikenakan tindakan
tegas oleh parti terbabit.
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen
Tengku Ismail menegaskan, bahawa tiada sebarang kompromi kepada sebarang
anasir yang cuba merosakkan perjuangan parti termasuk pelanggaran
disiplin yang telah, sedang dan akan diambil.
“Ini adalah selari dengan transformasi politik oleh kepimpinan
parti,” katanya dalam satu kenyataan media yang turut memaklumkan
berkaitan anggota parti yang telah diambil tindakan.
Kes-kes yang telah diputuskan oleh jawatankuasa itu membabitkan
kesalahan-kesalahan seperti sabotaj parti iaitu melanggar peruntukan
Fasal 20.8 Perlembagaan Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli
Umno.
“Tidak mengikut perintah-perintah parti dan juga tidak menjalankan
dasar-dasar parti iaitu melanggar peruntukan Fasal 20.8 Perlembagaan
Umno dibaca dengan Perkara 3 Tataetika Ahli Umno yang melibatkan
Bahagian Arau, Padang Besar dan Kangar, Perlis iaitu empat orang
didapati bersalah dan diberi amaran dan seorang didapati tidak
bersalah,” katanya lagi.
Menurut Ahmad Rithauddeen, keputusan itu hasil daripada persidangan
anggota Lembaga Disiplin pada 6 September dan 8 Oktober lalu.
Nama-nama individu yang terbabit ialah Ab. Habi Mustapha (Semporna),
yang melakukan kesalahan di bawah Fasal 20.8 (b) dan (c) Perlembagaan
Umno Dibaca Bersama Perkara 3.1.2 dan 3.1.4 Tataetika Ahli Umno,
didapati bersalah dan dipecat.
Rakannya dari bahagian sama, Abdul Majid Palah yang melakukan kesalahan fasal sama turut dikenakan hukuman pecat dari parti.
Seorang lagi dari bahagian Semporna, Nisfu Palah, terlibat dengan
kesalahan fasal 20.8 (b) dan (c) Perlembagaan Umno Dibaca Bersama
Perkara 3.1.2 dan 3.1.4 Tataetika Ahli Umno, yang digantung tiga (3)
tahun daripada 6 September 2012 atau satu (1) Penggal Pemilihan.
Empat yang lain, Syed Atif Syed Abu Bakar dan Abdul Halim Abdullah
Sunny dari Arau, Yaacob Man (Padang Besar) dan Biswardi Mohamad Hasbi
(Kangar), masing-masing diberikan amaran.
Sementara Datuk Zahidi Zainul Abidin dari Padang Besar setelah dilakukan siasatan didapati tidak bersalah.
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan
sebuah jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab memantau dan
mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli parti yang mengkhianati atau
mensabotaj parti tersebut pada 19 Oktober lalu.
Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan