22 November 2012

Dua bot nelayan asing ditahan

8 Muharram 1433H. [MOD] -

Dua bot nelayan asing ditahan

Antara nelayan asing yang ditahan kerana memasuki perairan negara.
 
LUMUT- Kelekaan menangkap ikan dan keinginan mendapat hasil tangkapan yang banyak menyebabkan dua bot nelayan asing tidak menyedari mereka telah memasuki kawasan perairan negara ini tanpa permit sah.

Penguatkuasa Daerah Maritim 3 Perak, Kapten (M) Abdul Razak Johan memaklumkan, kelekaan menangkap ikan telah menyebabkan kedua-dua bot nelayan berkenaan ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, bot terbabit telah ditahan oleh kapat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Laksamana Muhammad Amin ketika melakukan rondaan di perairan negara, pada jam 3 petang, 19 November lalu.

"Semasa rondaan, KD Laksamana Muhammad Amin telah mengesan dua bot nelayan berkenaan sedang menangkap ikan di perairan negara kira-kira 43 batu nautika barat lau Pulau Jarak, iaitu di luar kawasan tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia.

"Sebuah daripada bot berkenaan bernama KM Pelangi manakala sebuah lagi tidak bernama dan setelah diperiksa, bot-bot berkenaan didapati membawa sembilan awak-awak berasal dari Medan Sumatera Utara Indonesia," katanya dalam satu kenyataan akhbar kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Razak berkata, pemeriksaan turut mendapati, tiga daripada awak-awak berkenaan berusia bawah 18 tahun, manakala tiga lagi berumur 19 hingga 53 tahun.

Tambah beliau, salah seorang tekong mengatakan, mereka telah keluar ke laut selama tiga hari untuk menangkap ikan dan apabila kurang mendapat hasil di kawasan mereka, kedua-dua bot telah beralih ke kawasan lain tanpa menyedari telah memasuki perairan negara ini.

"Semua tekong dan awak-awak yang ditahan telah diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) untuk tindakan selanjutnya dan kita akan siasat kes ini di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985, iaitu menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia.

"Jika sabit kesalahan, tekong boleh didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 bagi setiap awak-awak. Permohonan reman dibuat di bawah 47D, Akta Perikanan 1985 dan untuk rekod, ini merupakan kes tangkapan kelima melibatkan bot nelayan asing di perairan Perak untuk tahun 2012," katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: