KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi
seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin
dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada
17 November lalu.
Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya akan berdikari selain
menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga untuk melalui kehidupan
sebagai suami isteri.
Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk
mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik mereka berdua berkahwin
walaupun pasangannya itu masih muda remaja.
“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.
“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan kami, malah Nor
Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah bersedia
menjadi seorang isteri.
“Daripada bergelumang maksiat dan melakukan perkara yang dilarang,
jalan terbaik ialah kami berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat
ia agak janggal pada zaman sekarang ini kerana berkahwin pada usia
terlalu muda.
“Malah saya tidak menghalang sekiranya isteri ingin melanjutkan
pelajaran, semua bergantung kepada kepada kemahuannya,” katanya yang
ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.
Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.
Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia
sudah bersedia bergelar suami dan tidak kisah pandangan rakan-rakan
seusia.
Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap usia mudanya menjadi
penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah bersedia menjalankan
tanggungjawabnya itu.
“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.
“Saya tidak kisah apa orang lain kata, penting perbuatan kami tidak
salah, malah adalah lebih baik daripada kami terbabit gejala sosial,”
katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki peperiksaan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.
Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata,
tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana mahu menjaga nama
semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.
Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor
Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya.
“Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk mengahwinkan mereka dalam
usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga mengahwinkan anak saya
walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.
“Hanya Allah tahu perasaan saya… walaupun pahit demi untuk menjaga
nama baik keluarga saya dan keluarga besan lebih baik saya mengahwinkan
anak dengan lelaki pilihannya.
“Anak saya bernikah pada 17 November lalu selepas mendapat perintah
kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah
Kulim pada 7 November lalu,” katanya.
Dia berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung
Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu dengan wang hantaran RM4,552
serta mas kahwin RM1,500.
“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul
Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki
berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah
untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah Syariah
Kulim.
“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.
Harian Metro
2 ulasan:
"Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya."
Anak gadis 13 tahun enggan pulang ke rumah?
Anak gadis 13 tahun mahu tinggal di rumah teman lelakinya?
Selamat Pengantin Baru ye dik...
Hadoii hai....kesiannya mak bapak dia...dah tak terbela le dah tu.. tu yang dikawinkan cepat2 tu. Perkahwinan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian untuk masalah ini. Apakah anak semuda ini mampu menjalankan tanggung jawab mereka dalam rumah tangga? Dengan pelajaran yang tak seberapa, dengan tiada pekerjaan tetap, dengan latar belakang agama yang cetek..fikir2kanlah dengan jujur saudara/i, apakah kesudahannya.
Catat Ulasan