12 Mac 2013

Mohon campur tangan MPKK

29 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Mohon campur tangan MPKK
Yik Hou menunjukkan kawasan tanah cerun berhampiran kawasan pembinaan berkenaan.
SUNGAI SIPUT - Majlis Perbandaran Kuala Kangar (MPKK) digesa campur tangan bagi menangani masalah hakisan cerun di tapak projek pembinaan rumah di Taman Kledang di sini.

Tinjauan Sinar Harian, mendapati barisan rumah yang dibina berhampiran dengan ladang kelapa sawit di situ, berisiko besar untuk berdepan dengan kejadian tanah runtuh.

Ketika ditemui, pemilik ladang kelapa sawit berkenaan, Khooi Yik Hou berkata, pihaknya telah dua kali membuat aduan berhubung perkara berkenaan khususnya bagi memohon agar ‘tanah sempadan’ dibina demi mengukuhkan struktur cerun di situ.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang tindakan yang dibuat bagi menangani permasalahan berkenaan.

“Sudah dua kali saya membuat aduan mengenai perkara ini. Yang pertama pada 2010 dan yang kedua pada Jun tahun lalu.

“Malah, wakil bagi pihak MPKK juga ada datang ke sini melihat kejadian sebenar. Tetapi keadaan menjadi agak tegang hingga mengakibatkan pergaduhan kecil. Mujur tidak berlaku sesuatu yang serius,” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi, jurucakap MPKK menyatakan mereka telah menyerahkan pelan serta kaedah yang perlu dibuat oleh pihak pemaju.

Bagaimanapun, kelewatan pihak pemaju melaksanakan pelan itu dipercayai menjadi punca kepada rungutan Yik Hou.

“MPKK sudah sediakan pelan untuk dilaksanakan pihak pemaju. Oleh itu, kita harap mereka akan dapat melaksanakan segera semua cadangan itu bagi tujuan penstabilan cerun.

“Kita akan pantau dari semasa ke semasa,” katanya.


sinar/-

Tiada ulasan: