29 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
GEMAS – “Saya berasa sangat cemas dan tidak mampu berfikir apa-apa selain keselamatan 12 kakitangan dan lebih 30 pelanggan yang berada di kedai sebaik melihat api menyambar dan memenuhi ruangan di bahagian dapur kedai,” luah pemilik Restoran Amira Nabila, Tomyam Seafood, Md Rais Basiron, 47, ketika ditemui di lokasi kebakaran di Pekan Pasir Besar, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 7.53 malam itu, Rais mengalami kecederaan iaitu melecur di bahagian kedua-dua kaki dan tangan kiri, sementara dua pekerjanya warganegara Thailand, Shaari Mat Husin, 35, dipercayai melecur di bahagian badan dan D. Lan, 30, melecur di bahagian kaki dihantar ke Hospital Jempol.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di kaunter dan terdengar bunyi gas bocor serta segera mengambil pemadam api untuk memadam kebakaran di bahagian salah satu dari 10 dapur.
“Kebakaran pertama berjaya dikawal, bagaimanapun, belum sempat lagi kami menutup pili gas yang bocor susulan bahagian atas tong gas masih panas, gas yang merebak di bahagian dapur menyambar pula dapur lain.
“Walaupun api sudah berada di sekeliling badan saya, saya berusaha mengambil pemadam api kembali namun ia tidak boleh digunakan kerana sudah digunakan. Pada masa itu, saya lihat Shaari yang sudah berkhidmat lebih 18 tahun dengan saya cuba mengawal kebakaran, namun tidak berjaya,” katanya.
Rais yang juga Ketua Pas Pasir Besar berkata, berkemungkinan tukang masak baru panik berhadapan dengan keadaan kebakaran pertama kerana seharusnya langkah menutup pili gas dilakukan terlebih dahulu.
“Saya harap semua pelanggan yang berada di kedai tidak perlu bimbang kerana saya menghalalkan segala makan dan minum mereka. Malah, saya lega dan bersyukur mereka tidak mengalami kecederaan," katanya.
Rais berkata, susulan insiden berkenaan, dia menganggarkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.
Susulan insiden itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Yusuf Abdullah dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan jam 7.53 malam.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian iaitu jam 8.12 malam membabitkan bangunan separa kekal, pihaknya dengan kekuatan 13 anggota berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke bahagian lain selama lima minit.
“Bangunan dianggarkan terbakar sebanyak 80 peratus. Punca dan jumlah kerugian kini masih lagi dalam siasatan, " katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan