12 Mac 2013

MPAG arah turun kain rentang di halaman rumah

29 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Seorang penduduk Kampung Paya Rumput, Melaka  tidak berpuas hati apabila Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) mengarahkan beliau menurunkan kain rentang di premis miliknya.

Zakaria Daud menerima notis meminta beliau berbuat demikian ekoran beliau memasang kain rentang dengan gambar Penyelia PAS Parlimen Masjid Tanah, Nasaei Ismail dan tawaran Pakatan Rakyat di hadapan rumahnya.

Beliau berkata, tiga buah kenderaan MPAG datang ke rumahnya kira-kira jam 11.15 malam kelmarin, meminta beliau menurunkan kain rentang tersebut sebelum tindakan undang-undang diambil.

Namun Zakaria bertegas tidak mahu menurunkannya kerana ianya dipasang di hadapan rumahnya dan tidak mengganggu laluan orang ramai.

"Kenapa saya nak turunkan pula sedangkan saya pasang kemas-kemas di hadapan rumah saya. Tak ganggu orang lalu lalang.

"Saya tanya orang MPAG kenapa datang tengah malam mereka kata hari itu mereka diarahkan untuk turunkan kain rentang," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang membuat aduan kepada MPAG berhubung perkara itu kerana rumahnya dikelilingi rumah orang kuat Umno termasuk ahli jawatankuasa keselamatan kampung (JKKK).

Tambah beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Masjid Tanah, MPAG meminta beliau memohon lesen untuk memasang kain rentang yang disifatkan berunsurkan politik.

"Mereka suruh saya ke Masjid Tanah untuk buat permohonan untuk naikkan kain rentang tetapi saya tak mahu sebab ini kawasan rumah saya," tegasnya yang juga Ketua PAS Cawangan Paya Rumput.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: