12 Mac 2013

Rumah musnah sekelip mata

29 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



Rumah musnah sekelip mata

Zulkifli melihat buku sekolah anaknya yang terbakar selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Slow Bedal, Kuala Krai, kelmarin.
Rumah musnah sekelip mata

Keadaan rumah yang terbakar selepas operasi memadam kebakaran tamat.
Rumah musnah sekelip mata

Keadaan rumah Zulkifli di Kampung Slow Bedal, Kuala Krai, beberapa minit sebelum bomba tiba.
KUALA KRAI - “Saya dengar bunyi seperti orang memasak tetapi kuat dan bila masuk tengok di dapur, api sedang marak dan sudah sampai di zink rumah,” kata seorang penghuni rumah terbakar di Kampung Slow Bedal dekat sini, kelmarin.

Muhammad Aziz Zulkifli, 16, berkata, sebelum kejadian, dia berada di ruang tamu seorang diri dan berlari ke dapur apabila terdengar bunyi berkenaan.

Katanya, apabila melihat api makin marak, dia terus keluar dari rumah dan berlari ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan bagi mendapatkan bantuan.

“Masa saya dengan mek (nenek) datang semula, api sudah sampai di ruang tamu. Saya cuba nak naik atas rumah untuk selamatkan barang, tetapi mek halang,” katanya kelmarin.

Lihat api marak bakar rumah

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan sebuah keluarga enam beranak tinggal sehelai sepinggang, apabila kediaman mereka yang berhampiran landasan kereta api di Kampung Slow Bedal musnah terbakar.

Zulkifli Che Hassan, 41, berkata, dia baru keluar dari rumah untuk menjenguk lembu peliharaannya sebaik sahaja pulang dari kerja manakala isterinya, Zuraida Abdullah menghantar motosikal untuk dibaiki di Kampung Bukit Sireh.

“Bila balik semula selepas diberitahu rumah terbakar, api sedang marak,” katanya yang bekerja di kilang papan di Batu Jong, dekat sini.

Menurutnya, ketika kejadian, tiga lagi anaknya termasuk anak bongsu berumur enam tahun sedang bermain di seberang landasan kereta api tidak jauh dari rumah.

Masalah laluan masuk

Penyelia Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Anuar Berang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Bilik Operasi Bomba negeri jam 3.42 petang dan sampai di tempat kejadian jam 4 petang.

“Sembilan anggota dan dua jentera bomba dikerah ke tempat kejadian, tetapi berdepan masalah kerana laluan masuk dihalang jambatan dan landasan kereta api.

“Jentera bomba terpaksa diletak di seberang landasan kereta api dan hos air dibawa merentangi landasan. Waktu kami sampai, lebih 90 peratus rumah ini sudah terbakar,” katanya.

Menurutnya, jumlah kerugian dan punca kebakaran dipercayai bermula dari bahagian dapur itu masih dalam siasatan.

Mangsa terima bantuan segera

Dalam pada itu, nasib malang keluarga terbabit dapat perhatian segera Adun Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman yang hadir menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Makkah.

Abdul Latiff berkata, bantuan pendahuluan RM1,000 daripada keseluruhan RM2,000 itu diharap meringankan beban mangsa terutama untuk belanja harian dan kelengkapan sekolah yang musnah dalam kejadian itu.

“Pada masa sama, kita patut bersyukur kerana walaupun hilang tempat tinggal, mangsa sekeluarga selamat dan diharap mereka bersabar menerima kejadian ini sebagai ujian ALLAH,” katanya.

Hadir sama melawat tempat kejadian, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Ramzi Ab Rahman.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: