29 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
REMBAU – Sepasang suami isteri di sini mendakwa gegendang telinga anak mereka yang berusia 21 tahun pecah akibat dikasari semasa dalam tahanan polis Januari lalu.
Bapa dan ibu remaja itu mendakwa, situasi sama turut berlaku kepada anak kedua mereka yang masih umur 17 tahun semasa berada dalam lokap dalam tangkapan berasingan.
Menurutnya, pada mulanya anak keduanya ditahan atas kesalahan samun di salah sebuah stesen minyak di daerah ini, namun semasa perbicaraan lain anaknya didakwa mengikut kesalahan mencuri komponen motosikal sama seperti anak sulungnya.
“Saya tidak mengetahui anak sulung saya mengalami kecederaan semasa ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, namun, rakan saya datang ke rumah saya 30 Januari lalu kira-kira jam 10 malam memaklumkan telinga dan lutut anak saya berdarah serta muka anak saya turut membengkak.
“Akhirnya pada keesokan harinya (31 Januari) kira-kira jam 2 petang, saya pergi ke IPD Rembau untuk menjenguk anak saya namun tidak dibenarkan berjumpa.
"Oleh itu, saya buat laporan polis pada hari Sama di Balai Polis Chembong bagi membolehkan anak saya dihantar menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya pada Sidang Media Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri di kediaman mangsa di Pedas, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua AMK Negeri, Mohd Nazree Mohd Yunus; dan Adun Rahang, MK Arumugam.
Bapa yang berusia 47 tahun itu berkata, susulan laporan berkenaan, pihak polis terlebih dahulu menghantar anaknya ke Klinik Penawar sebelum ke Jabatan Pesakit Luar Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.
“Akhirnya kes anak sulung saya dirujuk ke pakar dan pihak hospital menyatakan gegendang telinga anak saya pecah. Pada 21 Mac ini, anak saya harus menjalani pemeriksaan sekali lagi di HTJ.
“Saya kesal kerana tidak dimaklumkan mengenai status kesihatan anak saya semasa dalam tahanan. Malah, apa yang lebih memeranjatkan saya lagi ialah apabila menghadiri perbicaraan anak kedua saya 6 Mac lalu, anak saya bertanyakan kepada saya kenapa tidak melawatnya sepanjang ditahan beberapa hari di wad HTJ, "katanya.
Menurutnya, dia sangat terperanjat kerana perkara berkenaan tidak dimaklumkan kepadanya dan anak keduanya menyatakan kepadanya bahagian matanya ditutup semasa perutnya dipijak selain kekasaran lain yang dilaluinya semasa dalam tempoh tahanan polis.
“Anak saya ditahan di wad kerana kecederaan dari insiden berkenaan sehingga mengalami masalah kencing berdarah yang sebelum ini tidak pernah dialaminya. Anak kedua saya menyatakan pada mulanya dia hanya dihantar ke Klinik Kesihatan (KK)
Rembau, namun kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tampin (HT) dan akhirnya dipindahkan ke HTJ.
“Jika sebelum ini, bahagia lutut anak sulung saya juga dipijak dengan kasut but, diterajang di bahagian muka dan telinga serta bahagian kaki direndam dalam ais selama beberapa jam dua hari semasa dalam tahanan reman, " katanya.
Menurutnya, walau apa juga kesalahan anaknya, pihak berkuasa (polis) harus mengambil tindakan selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001 susulan anak kedua berusia 17 tahun dan bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
Untuk rekod, anak kedua kini ditempatkan bersama pesalah juvana yang lain di Bukit Beruang, Melaka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kertas siasatan telah dibuka bagi membolehkan kes berkenaan disiasat.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan