23 July 2013

75 maut gempa bumi di China

14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

75 maut gempa bumi di China
Seorang wanita menunjukkan rumahnya yang ranap akibat gempa bumi di Dingxi wilayah Gansu di barat laut China, semalam.

Ribuan bangunan musnah, 371 gegaran susulan

Beijing: Sekurang-kurangnya 75 terbunuh dan lebih 400 cedera parah apabila dua gempa bumi kuat melanda barat laut China awal pagi semalam, kata pihak berkuasa ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari dan membantu mangsa.
Kerajaan tempatan di Dingxi, wilayah Gansu, di mana gempa berukuran 5.9 dan 5.6 melanda, memberikan angka berkenaan melalui media sosial yang disahkan. 

“Lebih 21,000 bangunan musnah teruk dan lebih 1,200 runtuh,” kata seorang pegawai di biro gempa bumi wilayah sambil menambah bahawa sebanyak 371 gegaran susulan dicatatkan. 


Kajian Geologikal Amerika Syarikat berkata gempa bumi awal berukuran 5.9 berlaku pada 7.45 pagi dengan pusat gegaran 151 kilometer ke barat Beidao di Gansu dengan kedalaman kira-kira 9.8 kilometer.

Gempa kedua berukuran 5.6 berlaku di wilayah yang sama jam 9.12 pagi dengan kedalaman 10.1 kilometer, kata USGS.

Menara blok bergoyang

Seorang penduduk di wilayah Min memberitahu AFP bahawa beliau bekerja di sebuah loji pengeluaran ubat apabila gempa melanda dan menyaksikan menara blok bergoyang. 
“Saya di dalam bengkel. Saya dapat rasa gegaran teruk dan saya berlari keluar dengan segera,” katanya.

“Kilang kami hanya satu tingkat. Saya keluar ke halaman dan lihat sebuah bangunan 18 tingkat yang paling tinggi di wilayah ini bergegar teruk sekali terutama tingkat ke 18.”

Seorang pegawai yang dikenali sebagai He dari jawatankuasa Parti Komunis Wilayah Min berkata lebih 200 orang cedera di tujuh kawasan bandar berhampiran di kawasan itu.

Gansu menjadi antara wilayah paling ramai penduduknya di China, Bandaraya Dingxi yang disifatkan sebagai wilayah paling teruk terjejas mempunyai kira-kira 2.7 juta penduduk.

Satu laporan halaman berita internet berkata seramai 500 tentera termasuk 120 pakar penyelamat dalam perjalanan ke zon bencana.

Dipenuhi runtuhan

Gambar yang disiarkan televisyen tempatan menunjukkan kawasan kampung luar bandar itu dipenuhi dengan runtuhan di jalanan.

Sejumlah 380 bangunan runtuh dan beribu-ribu rosak di wilayah Zhang, kata halaman yang dikirimkan kerajaan tempatan Dingxi.

Komunikasi di 13 bandar di wilayah terbabit juga terputus, lapor agensi berita Xinhua dan bekalan kuasa juga terputus di beberapa kawasan.

Gempa turut dirasakan di wilayah Lanzhou dan sejauh hingga ke Xian, ibu kota wilayah berjiran Shaanxi, lapor Xinhua. - AFP

No comments: