23 July 2013

Dewan Ulama PAS harap Hadi jadi MB jika menang PRK

14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Dewan Ulama PAS membayangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) akan menjadi Menteri Besar Terengganu jika parti itu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.
Setiausaha Dewan Ulama PAS, Dr Khairuddin Amar Razali, berkata Abdul Hadi boleh kembali menjadi menteri besar mengulangi era antara 1999 dan 2004 sebelum BN merampas negeri itu pada pilihan raya umum 2004.

"Beliau (Abdul Hadi) bekas menteri besar. Insya-Allah, dapat 16:16, kita lantik jadi menteri besar semula, boleh?" kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Ungkapan pada ceramah di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut itu disambut hampir 1,000 penyokong parti itu dengan sahutan: "Boleh!"
Pakatan Rakyat (PR) menguasai 15 kerusi dalam DUN Kuala Besut, dengan masing-masing PAS memenangi 14 dan PKR satu daripada 32 kerusi manakala Barisan Nasional 17 kerusi.
Kematian penyandang, Allahyarham Dr Rahman Mokhtar yang menang selama dua penggal menjadikan perbezaan antara kerusi BN dan PR semakin tipis.
Bagaimanapun, Abdul Hadi sebelum ini ada menyuarakan keputusan PAS untuk menyerahkan jawatan menteri besar kepada BN walaupun mereka menangi kerusi DUN Kuala Besut.
Presiden PAS yang juga Adun Rhu Rendang itu berkata, sasaran PAS ialah mewujudkan situasi 16:16 kerusi bukan untuk merebut kuasa atau membentuk kerajaan.
Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Datuk Husam Musa sebelum ini juga dilapor, berkata PAS tidak akan berjaya membentuk kerajaan meskipun menang DUN Kuala Besut.
Sebaliknya, Abdul Hadi percaya mereka boleh menjalankan semak dan imbang berikutan kedudukan DUN tergantung sekaligus memperbaiki pentadbiran BN.
"Kita akan ada kekuatan untuk membetulkan kerajaan Terengganu," katanya.
Pada ceramah itu, seramai 51 pemuda dari Kampung Nail turut menyerahkan borang menyertai PAS.
Sejumlah 17,683 pengundi berdaftar dijangka akan mengundi pada 24 Julai ini seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). - 23 Julai, 2013.
themalaysianinsider.com

No comments: