Tokyo: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berikrar memulihkan ekonomi negara itu dan mengatasi kecurigaan bahawa beliau mungkin memberi tumpuan kepada agenda nasionalisnya. 

“Jika kita tidak melakukan pembaharuan ke atas Parti Liberal Demokrat (LDP), rakyat akan kehilangan keyakinan terhadap kita,” katanya pada sidang akhbar kelmarin. 
Abe berkata, keutamaannya sekarang adalah untuk meneruskan program ‘Abenomics’ membabitkan perbelanjaan kerajaan dan pembaharuan ekonomi dengan dasar kewangan lebih mudah. 

“Bukanlah suatu perkara yang mudah untuk menangani deflasi yang sudah berlarutan selama 15 tahun. Kita akan memberi tumpuan di dalam perkara ini. 

“Kita tidak akan mampu mengukuhkan asas kewangan jika kedudukan ekonomi kita goyah. Keadaan juga sama bagi keselamatan dan hubungan diplomatik,” katanya. 

Gabungan dua parti 

Parti LDP pimpinan Abe dan sekutunya, New Komeito menang 76 daripada 121 kerusi pada pilihan raya semalam. Termasuk kerusi yang belum dipertandingkan, gabungan kedua-dua parti kini menguasai 135 daripada 242 kerusi. 
Kemenangan itu meningkatkan peluang Abe untuk memberikan beliau satu tempoh pemerintahan yang lebih panjang sejak bekas perdana menteri Junichiro Koizumi berjaya menamatkan penggal pemerintahan lima tahun pada 2006. 

Kembali berkuasa 

Ia juga menamatkan kebuntuan parlimen yang bermula pada 2007 apabila Abe pada penggal pertama pemerintahannya sebagai perdana menteri, kalah teruk dalam pilihan raya parlimen, menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan. 

Bagaimanapun Abe kembali berkuasa dan menang besar pilihan raya dewan rendah Disember lalu. 

Di sebalik kemenangannya, Mandat diperoleh Abe tercemar dengan kehadiran pengundi rendah iaitu sekitar 52.61 peratus, kurang lima peratus berbanding pilihan raya pada 2010. - REUTERS