23 Julai 2013

BERSIH dakwa setiap pengundi diumpan RM19,000

14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa kerajaan persekutuan memperuntukkan sehingga RM19,000 untuk setiap pengundi bagi mengumpan pemilih dalam pilihan raya kecil DUN Kuala Besut.

BERSIH mendakwa mengesan jumlah tersebut melalui projek dan peruntukan yang diumumkan kerajaan, seperti dilaporkan media, dan kini didakwa berjumlah sehingga RM337 juta.


Ia melibatkan peruntukan melalui Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pertanian, kerajaan negeri Terengganu dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), dakwa BERSIH.


"Jika dibahagikan kepada 17,679 pengundi yang berdaftar di Kuala Besut, ini bermakna setiap undian bernilai RM19,089.92 setakat ini sekiranya semua janji pilihan raya ini dipenuhi.


"Dengan tempoh lagi tiga hari berkempen, jumlah ini pasti akan melonjak dan akan menjadi sejarah dalam pilihan raya di Malaysia," kenyataan itu dipetik.

Menurut BERSIH, janji berkenaan juga perlu dipersoalkan kerana ia janji berkenaan hanya dibuat menjelang pilihan raya.

BERSIH dalam kenyataan itu seterusnya mengingatkan pengundi agar tidak mengundi berdasarkan janji berkenaan kerana golongan itu sememangnya berhak menikmati pembangunan.

Oleh yang demikian, pengumuman projek tersebut semasa kempen pilihan raya menunjukkan bahawa kerajaan hanya merancang pembangnunan demi kepentingan politik.

Gabungan NGO itu menjelaskan, perbuatan memancing undi dengan menyalahgunakan dana awam melanggar peraturan pilihan raya dan mencemarkan pilihan raya.


"Pengundi juga harus diberi amaran bahawa sesiapa yang melakukan suatu kesalahan pilihan raya sama ada merasuah atau cuba mempengaruhi atau melakukan penyamaran boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan atau denda sehingga RM2000, jika sabit kesalahan," kata BERSIH.  


Selain itu, BERSIH juga menyeru kepada  pengundi yang bekerja di tempat lain supaya pulang  untuk mengundi bagi menghalang "pengundi hantu" daripada menyamar dan mengundi bagi pihak mereka.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: