(Kempen Che Long di Pulau Perhentian...kepulangan pengundi luar menjadi faktor yang bakal menentukan menang kalah PAS dalam pilihan raya kecil ini.
KUALA LUMPUR: PAS berpeluang menang di pilihan raya kecil Kuala Besut jika berjaya membawa pulang semua pengundi luar yang ada di dalam pilihan raya ini di samping memujuk pengundi muda untuk mengundinya.
Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre dari 18 hingga 21 Julai 2013 ke atas 546 respondan dari lapan peti undi dalam Kuala Besut mendapati, populariti calon PAS sangat tinggi berbanding calon BN.
"Kajian ini yang diadakan pada 18 sehingga 21 Julai 2013 menunjukkan populariti calon PAS jauh mendahului 71 peratus berbanding 14 peratus bagi calon BN," kata Mohamad Hisomudin Bakar, Pengarah Eksekutif Ilham Centre berdasarkan kajian yang dibuatnya.
Walaupun calon PAS popular tetapi kajian Ilham mendapati, faktor pengundi luar yang terdedah kepada media baru bakal menentukan keputusan pilihan raya ini.
"Jika PAS tidak berjaya membawa balik pengundi luar ini, kami jangka majoriti BN akan meningkat," kata Hisomudin.
Ilham Centre mempunyai reputasi yang baik dalam kajian pra pilihan raya ekoran hampir kesemua ramalan badan ini dalam pilihan raya kecil musim lalu hampir tepat.
Kira-kira 17,000 pengundi Kuala Besut akan mengundi 24 Julai esok di lapan pusat mengundi seluruh pekan yang terkenal dengan pelancongan itu. Pengundian akan bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang.
SPR menjangkakan, keputusan rasmi dijangka akan diperolehi jam 10.30 malam ekoran bulan Ramadhan namun keputusan tidak rasmi dijangka akan mula diterima sekitar jam 7.30 malam.
PAS turun sebagai underdog dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut ini selepas kalah dengan majoriti agak besar dalam PRU12 yang lalu iaitu 2,400 undi.
Penampilan Che Long sebagai calon PAS bagaimanapun menjadikan pertembungan adalah sengit dan sukar diramal.
Walaupun Che Long sangat popular namun kekuatan imej Che Long ini kelihatan tidak dapat diterjemahkan kepada bentuk undi oleh responden atas beberapa faktor yang lebih dominan, lapor Ilham Centre.
Sejarah pertembungan radikal dan ekstrim PAS – UMNO suatu ketika dahulu yang menyaksikan isu yang kontroversi seperti kafir-mengkafir dan sembahyang dua imam masih membayangi pengundi.
Penampilan Che Long yang mewakili PAS yang dilihat membawa imej kebajikan untuk semua dan perwatakan rentas parti belum berjaya memadamkan legasi lama ini.
Sikap responden yang memberi wajaran tinggi kepada soalan-soalan positif tentang Che Long perlu diberi perhatian.
51.2 pengratus responden misalnya bersetuju bahawa Che Long adalah seorang peniaga yang cukup dermawan manakala 65.1 peratus menerima Che Long sebagai seorang yang ramah dan mudah mesra.
Kekuatan figura Che Long berdepan dengan dilema pengundi untuk diterjemahkan kepada bentuk undi, kata Ilham.
"Kempen agresif dan mewah oleh jentera Barisan Nasional membelenggu pertimbangan rasional pengundi di sini. Elemen bantuan rakyat dimanipulasi sepenuhnya oleh jentera kerajaan dalam pelbagai bentuk sama ada bersifat one off hinggalah kepada janji-janji yang mengikat minda pengundi," lapor Ilham.
Kebanyakan responden mengakui terpengaruh dengan manipulasi ini sehinggakan peratus prediksi kemenangan memihak kepada Barisan Nasional mendahului sebanyak 69 peratus berbanding hanya 13 peratus kepada PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan