23 Julai 2013

SMS tidak bertanggungjawab, Warga emas ke rumah wakil calon PAS minta zakat


14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


PAS Besut membuat laporan polis awal pagi tadi meminta pihak berkuasa menyiasat berhubung dakwaan penyebaran SMS yang meminta pengundi di Unit Peti Undi (UPU) Kampung Baru pergi ke rumah calon PAS untuk menerima zakat.

Laporan polis itu dibuat oleh yang dipertuanya Wan Azhar Wan Ahmad (kiri) di Balai Polis Kuala Besut kira-kira jam 3.52 pagi tadi.

Ia dibuat selepas 15 orang warga emas hadir ke rumahnya di Kampung Raja kira-kira jam 9 malam tadi, bertanyakan mengenai pemberian zakat itu oleh calon PAS Azlan Yusof.
Bercakap dalam sidang medianya pagi ini, Wan Azhar berkata dan terkejut dengan penyebaran SMS daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi, namanya turut tertera dalam SMS itu - sebagai wakil calon - yang didakwa menghantar SMS berkenaan kepada pengundi


NONESMS tersebut berbunyi: "Adik kakok pengundi UPU Kg Baru yang nak undi atau doa untuk Che Long (Azlan) malam ni, Che Long nak beri zakat sempena Ramadan dan raya. - Wan Azhar".

"Apabila disemak, SMS itu dihantar dengan menggunakan nombor telefon saya. Ertinya nombor ini, adalah nombor yang diklon, daripada nombor telefon saya yang sebenar.

"Mesej yang dihantar dengan jumlah yang agak banyak... Ini satu perancangan jahat yang dilakukan oleh pihak yang terdesak dalam menghadapi pilihan raya kecil ini," katanya.

'Zakat boleh mohon di pejabat agama'


Menurutnya lagi, berdasarkan semakan yang dibuatnya SMS itu disebarkan secara meluas dan seramai 50 individu menerima mesej yang sama selepas menghubungi mereka untuk membuat semakan.

Wan Azhar juga menjangkakan SMS seumpama itu akan beredar dalam tempoh kempen yang berbaki tengah malam ini untuk mencetuskan kemarahan kepada calon PAS Azlan Yusof dan kepimpinan parti itu.

Sehubungan itu, beliau juga akan membuat tindakan susulan untuk meminta SKMM menyiasat pihak yang bertanggungjawab yang mengklon dan memajukan SMS itu kepada masyarakat.

Menceritakan kunjungan meminta zakat di rumahnya malam tadi, Wan Azhar berkata: 

"(Saya kata kepada mereka) saya adalah wakil calon, tidak boleh memberikan wang. Itu adalah larangan yang perlu saya jaga. Dan saya berterus terang (kepada mereka) duit zakat boleh di mohon di pejabat agama Islam," katanya.

Wan Azhar bagaimanapun tidak mengetahui pihak yang bertanggungjawab mengklon dan menyebar SMS palsu itu dan meminta polis membuat siasatan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: